Seda Kongsi Panduan Pengurusan Tenaga Lestari Sempena Aidilfitri

19/04/2023 03:48 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia menyarankan orang ramai yang merancang meninggalkan kediaman masing-masing sempena cuti Hari Raya mengamalkan pengurusan tenaga lestari termasuk mengurangkan penggunaan tenaga secara berlebihan.

Menurut SEDA, ia boleh dicapai dengan bersikap cermat terhadap penggunaan tenaga di rumah seperti mematikan lampu dan peralatan elektronik apabila tidak digunakan, menggunakan peralatan dan lampu yang cekap tenaga seperti lampu LED, serta menyusun atur kedudukan barangan dan dekorasi dengan betul agar tidak menghalang laluan pengudaraan atau menjejaskan suhu di dalam rumah.

“Menyediakan juadah hari raya turut melibatkan penggunaan tenaga yang banyak. Menukar peralatan sedia ada dengan peranti cekap tenaga kepada berlabel empat atau lima bintang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga akan dapat menyumbang kepada penjimatan tenaga,” menurut SEDA dalam satu kenyataan hari ini. 

Orang ramai turut disaran memanfaatkan penggunaan cahaya semula jadi secara optimum dengan membuka tingkap dan langsir terutama pada siang hari dan memberi ruang pada udara luar untuk masuk kerana ia dapat mengurangkan keperluan pencahayaan buatan dan membantu dalam penggunaan semula tenaga boleh baharu.

Selain itu, SEDA juga menyarankan penggunaan mod pengangkutan yang aktif dalam memelihara alam sekitar.

“Kenderaan bermotor menjadi punca utama pencemaran di bandar yang menyumbang 90 peratus gas karbon dioksida. Oleh itu, pilih opsyen pengangkutan yang kurang membebaskan gas karbon dan cekap tenaga seperti menggunakan pengangkutan awam, berjalan kaki, berbasikal atau berkongsi kereta sebanyak mungkin.

“Jika berkebolehan, anda boleh memilih untuk memakai kereta elektrik atau hibrid demi mencapai kecekapan tenaga yang optimal,” menurut kenyataan itu.

SEDA turut menggalakkan amalan tenaga lestari di tempat kerja dengan mematikan lampu dan peralatan elektronik apabila tidak digunakan, menggunakan peralatan pejabat yang cekap tenaga dan memupuk sikap menjimatkan tenaga dalam kalangan pekerja.

Menurut SEDA, amalan kurangkan, guna semula dan kitar semula (3R) bahan buangan adalah tiga prinsip sistem yang perlu diamalkan untuk memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Sebagai contoh, orang ramai disaran mengurangkan penggunaan beg plastik semasa membeli barang-barang keperluan Hari Raya dan membudayakan amalan membawa bekas makanan sendiri setiap kali mengunjungi bazar Ramadan.

Menurut SEDA, ia merupakan langkah tepat untuk mengurangkan sisa pembuangan pepejal di bumi sekali gus membantu melestarikan alam sekitar di negara ini. 

Dengan mengambil langkah-langkah tersebut, orang ramai boleh mengurangkan penggunaan tenaga serta menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau sekali gus menyokong usaha SEDA untuk mempertingkatkan peralihan tenaga bagi menangani perubahan iklim dan isu pelepasan gas rumah hijau. 

-- BERNAMA