Pbsl: Doa Ibu Makbul, Dapat Sambut Raya Bersama Anak
KUANTAN, 19 April (Bernama) -- Khabar gembira buat seorang ibu sejurus menerima panggilan telefon pagi semalam yang memaklumkan anak bongsunya akan dibebaskan dari Penjara Penor di sini, hari ini menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).
Warga emas dikenali sebagai Idah, 75, berkata dia berdoa saban hari supaya anak lelakinya Kit, 44, yang dipenjarakan atas kesalahan dadah dapat menyambut Aidilfitri bersama pada minggu ini.
“Saya sentiasa berfikiran positif dan menganggap Kit akan balik untuk beraya bersama kami dan akhirnya doa saya dimakbulkan… perasaan selepas dapat panggilan semalam lega sangat.
"Macam mana pun anak kita, kena terima… marah memang marah tetapi kalau bukan keluarga sendiri yang terima siapa lagi, setiap minggu saya ke penjara untuk melawat anak," katanya kepada pemberita di Penjara Penor di sini hari ini.
Kit yang pernah bekerja di sektor perhotelan adalah seorang daripada 40 banduan di Pahang yang dibebaskan menerusi PBSL seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang keseluruhannya melibatkan pelepasan lebih 1,000 Orang Bebas Berlesen (OBB) sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Bapa kepada seorang anak lelaki itu berkata dia hanya menganggap berita pembebasannya yang dimaklumkan semalam hanya gurauan daripada pihak penjara setelah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas terlibat dengan bahan terlarang itu.
"Saya memang tak sangka dapat keluar lebih awal... sepatutnya (keluar) seminggu selepas raya, apa pun saya bersyukur kerana masuk penjara kerana ada hikmahnya dan banyak benda saya belajar di sini. Allah masih sayang dan bagi saya peluang," katanya yang terharu dengan sokongan keluarga terhadapnya.
Bagi Saiful, 31, yang berasal dari Marang, Terengganu pula berkata kehidupan di Penjara Penor banyak mengajarnya memperbaiki diri dan berterima kasih atas peluang diberikan kerana terpilih untuk dibebaskan pada hari ini, kira-kira dua minggu lebih awal daripada tarikh pembebasan sebenar.
Bekas pengawal keselamatan yang dipenjara lapan bulan kerana memiliki air ketum itu, kini nekad untuk menjaga dengan lebih baik dua anak lelakinya yang berusia 10 dan 12 tahun.
"Ini kali kedua saya masuk ke sini (Penjara Penor) selepas 2011, cukup kali ini yang terakhir, saya tak mahu dah ke sini. Anak-anak dah besar dan bersekolah, mereka perlukan saya sekarang… raya nanti saya akan bersama anak-anak yang kini dijaga oleh ibu," katanya.
Sementara itu, Pengarah Penjara Pahang Datuk Abu Hasan Hussain berkata sebanyak 1,119 pelepasan telah dilakukan di negeri ini sejak PBSL dilaksanakan bermula 2020 hingga April ini, yang antara lain bertujuan mengurangkan kesesakan di dalam penjara.
Beliau berkata antara syarat kelayakan PBSL ialah banduan telah menjalani satu per tiga dari tempoh pemenjaraan atau mempunyai baki hukuman tidak kurang dari dua bulan selain telah atau sedang mengikuti program pemulihan di penjara.
-- BERNAMA