Lapan Beradik Dicabar Ibu Hasilkan Dekorasi Raya Guna Bahan Kitar Semula
JASIN, 20 April (Bernama) -- Cabaran oleh si ibu kepada lapan anaknya untuk menghias halaman rumah orang tua mereka dengan pelita, lampu dan dekorasi raya menggunakan bahan-bahan terpakai serta kitar semula bagi memeriahkan sambutan Syawal, membawa tuah apabila meraih tempat pertama dalam satu pertandingan peringkat Parlimen Jasin.
Hazlina Ibrahim, 39, berkata hiasan itu terhasil selepas ibunya, Asiah Mohamad, 66, mahu mereka adik-beradik bersatu hati menunjukkan kreativiti masing-masing dalam menghidupkan suasana Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang menjadi tradisi masyarakat sejak dahulu.
"Kami dimaklumkan terdapat pertandingan Pelita Raya dan Lampu Hiasan anjuran UMNO Bahagian Jasin pada pertengahan Ramadan lepas dan lapan beradik sepakat untuk bekerjasama menyiapkan dekorasi ini.
“Kami juga berkongsi modal kira-kira RM1,000 untuk membeli lampu perhiasan serta hiasan lain dan untuk menjayakan hasrat ibu ini, kami diberikan tugas masing-masing untuk disiapkan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Paya Lengkung, Merlimau Pasir di sini.
Hazlina yang merupakan anak keempat berkata mereka menggunakan bahan kitar semula seperti kotak, kayu, aluminium, kayu dan buluh bagi hiasan merangkumi pintu gerbang, pondok, replika ketupat dan rumah Melayu tradisional, pelita gergasi, panjut serta meriam yang diperbuat daripada tong cat.
Katanya, usaha melakukan dekorasi itu juga telah dilakukan beberapa tahun lepas selain turut melakukan aktiviti mengacau dodol bersama jiran terdekat seminggu sebelum menjelang Syawal.
Sementara itu, Razman Ibrahim, 35, anak keenam daripada keluarga itu berkata dia dan adik-beradiknya mengambil masa hanya seminggu untuk menyiapkan semua hiasan di pekarangan rumah ibu bapa mereka.
Menurutnya, walaupun tugasan utamanya adalah untuk merangka idea dekorasi, mereka saling berkongsi pendapat bagi menjayakan hiasan terbaik dalam menterjemahkan suasana Hari Raya Aidilfitri yang meriah.
"Kebanyakan tugas berat seperti mencari buluh untuk membuat replika gergasi dilakukan adik-beradik lelaki manakala yang perempuan akan membantu mengecat, menghias halaman dengan semua tugasan menyiapkan dekorasi ini dilakukan sehingga lewat malam," katanya.
Sementara itu, Asiah berkata tradisi keluarganya itu secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara anak-anaknya dengan mereka saling bekerjasama dan gembira melakukan aktiviti berkenaan.
"Saya memang suka menyertai pertandingan seumpama ini malah kami juga pernah mengambil bahagian dalam pertandingan dekorasi seumpamanya sempena sambutan Hari Kebangsaan tetapi inilah kali pertama keluarga kami dapat tempat pertama.
"Tetapi apa yang lebih penting kami sekeluarga seronok dapat menghidupkan suasana hari raya yang lebih meriah, berkumpul bersama keluarga dan berharap tradisi ini dapat dikekalkan pada masa-masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA