Dhl Anggar Penghantaran Meningkat 20 Peratus Dipacu Barangan Hari Raya

20/04/2023 05:56 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- DHL Express Malaysia (DHL) menganggarkan penghantaran meningkat sebanyak 20 peratus dipacu oleh barangan berkaitan hari raya, berbanding dengan tempoh bukan puncak, didorong oleh pertambahan pelanggan jumpa terus yang menghantar pakaian dan biskut bermusim, terutama ke United Kingdom dan Jepun.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo mengakui wujud peningkatan aktiviti penghantaran dalam rangkaian mereka semasa tempoh perayaan ini.

Beliau berkata bagi pelanggan perniagaan, pihaknya menerima kemasukan import yang besar kerana jenama tempatan turut meningkatkan inventori mereka untuk hari raya.

“Fesyen, kosmetik, kad ucapan dan beg kertas adalah antara produk yang mendapat permintaan yang cergas.

“Kami juga mencatatkan peningkatan dari segi penghantaran berwajaran berat, iaitu kargo seberat 50 kilogram hingga 3,000 kilogram,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam menguruskan kapasiti operasi dan mengekalkan kelajuan perkhidmatan yang menjadi tanda dagangan DHL, ketidaktentuan e-dagang adalah elemen penting dalam analisis harian dan persediaan luar jangka pihaknya.

Neo berkata DHL akan bersedia untuk situasi kemuncak dan terendah dalam musim perubahan pasaran yang berbeza, termasuk semasa Ramadan dan hari raya.

“Bagi memastikan gangguan adalah minimum semasa tempoh puncak, kami melaraskan kapasiti penerbangan kami dengan menambah penerbangan dan mengubah laluan untuk melanjutkan tempoh pengambilan dan penghantaran.

“Ini membolehkan kami membuat penghantaran sehingga lewat petang menjelang Aidilfitri," katanya.

Di Malaysia, DHL Express mempunyai enam pintu masuk, 21 pusat servis, 185 pusat jualan runcit, lebih 300 kenderaan, lebih 60 penerbangan mingguan, empat pesawat khusus dan lebih 1,500 pekerja.

“Dari segi pendigitalan, kecerdasan buatan, data raya dan automasi proses robotik adalah sebahagian daripada operasi harian kami.

“Ini memastikan kami mempunyai liputan komprehensif dan dilengkapi dengan baik untuk mengendalikan jumlah penghantaran masuk dan keluar, walaupun semasa tempoh puncak,” katanya.

-- BERNAMA