Vokalis Xpdc Mael Selamat Dikebumikan Di Muar
MUAR, 28 April (Bernama) -- Jenazah vokalis kumpulan rock terkenal negara, Mael XPDC atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, dekat sini, pukul 11 pagi tadi.
Kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan artis serta peminat hadir ke tanah perkuburan berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Terdahulu, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), dekat sini, pada pukul 9.30 malam tadi.
Ahli XPDC Zuar atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi, 57, berkata kali terakhir dia berjumpa dengan Mael adalah pada pertengahan Ramadan selepas bersama-sama dalam satu program.
“Pemergian Allahyarham sememangnya akan dirasai oleh industri hiburan di negara ini, selain sifatnya yang baik dengan semua orang dan juga amat rajin bersedekah,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian penyanyi kumpulan XPDC itu, di sini hari ini.
Sementara itu, adik arwah, Syed Ali Syed Ibrahim, 50, berkata dia kagum dengan abangnya yang disifatkan sanggup berkorban demi peminatnya, walaupun dirinya tidak sihat sejak kebelakangan ini.
Katanya, Allahyarham sanggup ke mana sahaja demi menghargai peminatnya dan meminta bantuan rakan artis yang lain untuk bertemu dengan peminat-peminat XPDC walaupun lokasinya agak jauh dari kediamannya di Muar.
“Dia (arwah) sememangnya tidak tunjuk di hadapan peminat yang dia sakit. Saya agak terkejut bila tahu dia telah meninggal dunia malam tadi,” katanya.
Sementara itu, anak saudaranya, Norashikin Abdullah, 44, berkata sikap bapa saudaranya yang sangat baik dan sentiasa tenang itu pastinya akan memberi kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai.
“Peribadi arwah ini memang luar biasa kerana dia memang menekankan pendidikan agama kepada anak-anaknya sejak kecil sebab itu Allah ambil nyawanya dalam bulan baik ini dan pada Khamis malam Jumaat (malam tadi).
“Raya kali ini juga dia bersungguh-sungguh meminta maaf pada ahli keluarga seolah-olah memberi petanda kepada kami, dia akan pergi selamanya,” kata Norashikin.
-- BERNAMA