Replika Al-quran Gergasi Di Yala Terus Tarik Perhatian Pengunjung

07/05/2023 05:55 PM

YALA (Thailand), 7 Mei (Bernama) -- Replika al-Quran 'gergasi' bertulisan ayat Al-Israa yang terletak di Kampung Pak Pungoh, di sini, terus menjadi tumpuann orang ramai sejak ia tular di laman sosial pada Ramadan baru-baru ini.

Pencetus idea pembinaannya, Imam Mat Rokey Wan Kechik, 57, berkata dia sendiri tidak menyangka replika setinggi 3.6 meter dan lebar 5.2 meter itu, menjadi terkenal dan tidak putus-putus menerima kunjungan pelawat. 

Beliau berkata sehingga kini lebih 100,000 orang telah berkunjung ke kampung itu dan melahirkan kekaguman mereka selepas melihat serta mengambil kesempatan bergambar di hadapan replika berkenaan.

“Ada pengunjung yang datang dari Arab Saudi, Singapura, Brunei, Indonesia dan tidak terkecuali dari Malaysia.

“Setiap hari dianggarkan 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke sini, ia masih berterusan hingga kini,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu semalam.

Mat Rokey berkata kos bagi membina replika itu hanya kira-kira 6,000 baht (RM789) dan mengambil masa 22 hari untuk disiapkan, manakala lapan hari lagi bagi menghasilkan tulisan khat ayat al-Quran itu.

Katanya kerja-kerja pembinaannya dilakukan oleh 30 pemuda kampung secara bergotong-royong iaitu pada sebelah malam selepas solat terawih.

“Sebelum ini semua kampung di kawasan ini membuat pintu gerbang sebagai tradisi menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi saya inginkan kelainan dan memberi idea untuk membina replika al Quran yang dibuat menggunakan batu, simen serta papan lapis.

"Alhamdulillah, idea ini diterima penduduk dan tidak disangka ia tular di seluruh dunia," katanya yang turut bersyukur kerana tempias pembinaan replika itu turut dirasai penduduk setempat.

Menurutnya bagi melengkapkan lagi kehadiran replika al-Quran itu, penduduk turut membina replika Gua Hira’ dan Bukit Uhud sebagai mengenang pengorbanan Nabi Muhamad SAW dalam mengembangkan Islam.

Sementara itu, Penghulu Kampung Pak Pungoh, Tolib Mustofa, 59, berkata kedatangan pengunjung ke kampung itu membawa rezeki kepada penduduk yang mengambil kesempatan berniaga makanan dan minuman.

Katanya setiap hari ada sahaja pengunjung yang datang terutama dari Malaysia yang ingin merakamkan gambar kenangan.

-- BERNAMA