Maiwp Sumbang Rm150,000 Kepada Pesakit Di Hkl Dan Hta

10/05/2023 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan Rahmah Madani Aidilfitri berjumlah RM150,000 kepada pesakit yang memerlukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA).

Ahli MAIWP Zainal Abidin Shaik Zakaria berkata sumbangan Aidilfitri ini akan diberikan kepada 500 pesakit di wad dewasa HKL dengan setiap seorang menerima bantuan tunai RM200, manakala 500 pesakit kanak-kanak di HTA menerima sumbangan hamper.

“Usaha ini dilaksanakan untuk mengetengahkan kepada orang ramai dan masyarakat di luar sana betapa kerajaan melalui agensi bertanggungjawab khususnya MAIWP bersama-sama meraikan kemeriahan hari raya dengan mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

“Sumbangan ini bukan hanya diberikan kepada pesakit beragama Islam, bahkan kepada bukan Islam sebagai tanda keprihatinan MAIWP terhadap masyarakat berbilang kaum dan bangsa di negara ini,” katanya pada sidang media di bilik Auditorium HKL di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengarah HKL Datin Paduka Dr. Rohana Johan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP Mohd Fauzi Abidin.

Selain itu, Zainal Abidin berkata kutipan zakat yang dijalankan oleh anak syarikat iaitu Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) setakat ini berjumlah RM300 juta.

“Jumlah kutipan zakat akan sentiasa meningkat sebab pembayar zakat semakin lama semakin ramai dan keprihatinan masyarakat terhadap zakat makin baik. Alhamdulillah MAIWP mendapat kerjasama yang baik daripada pembayar zakat.

“Sepanjang Ramadan dan Syawal ini pula sejumlah RM76.9 juta sumbangan telah diberikan kepada mereka yang memerlukan melalui pelbagai program mengikut keperluan,” katanya. 

-- BERNAMA