Ketua Perangkawan Antara Hampir 2,000 Jemaah Haji Berada Di Madinah

23/05/2023 11:54 AM

Daripada Kamarul Irwan Alias

MADINAH, 23 Mei (Bernama) -- Seramai 1,755 jemaah haji negara telah tiba di sini menerusi enam penerbangan sejak Ahad hingga semalam dengan Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin antara yang menyumbang kepada statistik tersebut.

Mohd Uzir ditemui media di sini selepas melakukan rutin hariannya iaitu berjalan kaki pada waktu pagi untuk kekal sihat, dengan kali ini berjalan lebih dua kilometer sekitar Masjid Nabawi usai solat subuh bersama isteri Datin Seri Suhana Tahir.

Menurutnya ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental bagi menghadapi dugaan dan cabaran.

"Dalam keadaan cuaca panas di Tanah Suci ini, kekuatan mental dan fizikal amat penting. Saya lihat cubaan atau ujian ini, bukan lebih berat kepada kekuatan fizikal, ia perlukan kekuatan mental.

"Kalau kita lihat baru habis Ramadan, yang boleh buat 21 rakaat tarawih itu orang muda atau orang berumur?...kadang-kadang sebahagian besarnya orang yang berumur," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata setiap jemaah haji negara mempunyai peranan menjaga nama baik negara dan membantu Tabung Haji (TH) mengekalkan pengurusan haji yang terbaik.

Sementara itu, seorang guru Masturah Zainal, 44, melahirkan rasa syukur kerana impiannya untuk menunaikan haji hampir tercapai.

Katanya beliau menabung sejak kecil bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Masa itu saya tengok datuk dan nenek pergi haji...saya memang berhasrat sangat nak pergi haji. Jadi saya menabung guna duit raya, memang tak nak belanja, sanggup simpan," katanya.

Secara keseluruhan sebanyak 98 penerbangan membawa 31,600 bakal haji bertolak secara berperingkat sama ada ke Madinah atau Makkah, dengan penerbangan terakhir musim haji kali ini pada 21 Jun depan.

-- BERNAMA