Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah Ekoran Kelemahan Minyak Kacang Soya Di Cbot

29/05/2023 10:07 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Isnin, menjejaki kelemahan niaga hadapan minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT).

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, India, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM juga mengalami penurunan ekoran pengambilan untung susulan pengeluaran pada Mei merekodkan peningkatan ketara dalam berbanding semasa April.

Beliau berkata memetik data Persatuan Pengilang Minyak Sawit Selatan Semenanjung Malaysia (SPPOMA) bagi tempoh 1 hingga 25 Mei, pengeluaran bulan ini menunjukkan peningkatan ketara 45 peratus berbanding tempoh yang sama April bagi kilang Selatan Semenanjung.

“Pasaran kini menjangkakan peningkatan kira-kira 30 peratus dalam pengeluaran minyak sawit Malaysia dan Indonesia pada Mei berasaskan bulan ke bulan memandangkan kebanyakan hari semasa separuh kedua April adalah cuti Ramadan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, kontrak bagi serahan Jun 2023 turun RM5 kepada RM3,585 satu tan, Julai 2023 kurang RM14 kepada RM3,588 satu tan dan Ogos 2023 susut RM13 kepada RM3,546 satu tan.

September 2023 menguncup RM15 kepada RM3,539 satu tan, Oktober 2023 turun RM14 kepada RM3,543 satu tan dan November 2023 kurang RM11 kepada RM3,549 satu tan.

Jumlah dagangan merosot kepada 35,395 lot daripada 66,442 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 229,058 kontrak daripada 259,646.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan kekal tidak berubah pada RM3,620 satu tan.

-- BERNAMA