Niaga Hadapan Msm Ditutup Rendah Dua Hari Berturut-turut

30/05/2023 09:18 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup  rendah selama dua hari berturut-turut menjejaki penurunan dalam niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM juga mendapat tekanan daripada jangkaan peningkatan pengeluaran minyak sawit antara 30 peratus dan 32 peratus di Malaysia dan Indonesia pada asas bulan ke bulan daripada asas rendah pada April berikutan cuti Ramadan.

“Eksport minyak sawit Malaysia berkemungkinan tidak berubah pada Mei walaupun mungkin lebih rendah sedikit daripada bulan sebelumnya, mengakibatkan peningkatan dalam stok minyak sawit Malaysia pada akhir Mei,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2023 turun RM155 kepada RM3,430 satu tan, Julai 2023 merosot RM151 kepada RM3,437 satu tan dan Ogos 2023 susut RM143 kepada RM3,403 satu tan.

Kontrak September 2023 turun RM137 kepada RM3,402 satu tan, Oktober 2023 susut RM133 kepada RM3,410 satu tan dan November 2023 merosot RM131 kepada RM3,418 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 66,292 lot daripada 35,395 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 258,949 kontrak daripada 229,058 sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Jun Selatan turun RM120 kepada RM3,500 satu tan.

-- BERNAMA