Kerajaan Salur Bantuan RM1,500 Sempena Aidiladha? Tidak Benar, Poster Tular Adalah Palsu

28/06/2023 11:31 AM
By :
Puti Sarah

SEKILAS FAKTA

  • Tular satu poster menyatakan kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan sebanyak RM1,500 kepada golongan miskin tegar sempena Hari Raya Aidiladha.
  • Poster tersebut memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Pada bahagian bawah poster turut terpapar perkataan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
  • JaPen sahkan ia adalah poster palsu dan pihak mereka tidak pernah mengeluarkan poster sedemikian.

pix1

 

LATAR BELAKANG

Hari Raya Korban adalah hari yang cukup bermakna bagi umat Islam seluruh dunia.

Perayaan ini disambut pada bulan Zulhijah yang mana ia dilaksanakan sebagai tanda memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim.

Pada bulan ini umat islam melipatgandakan ibadah seperti melaksanakan haji, berpuasa serta melaksanakan korban.

 

MENGENAI DAKWAAN

pix2

 

MyCheck menerima satu mesej menerusi WhatsApp yang bertanyakan mengenai satu poster bantuan kewangan sempena Hari Raya Aidiladha.

Pada poster tersebut terpapar gambar Perdana Menteri dengan satu kenyataan bahawa kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,500 sempena Aidiladha.

Turut dinyatakan bantuan itu adalah untuk warga miskin tegar serta yang memenuhi kriteria kelayakan demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup mereka.

Di bahagian atas poster terpapar logo Malaysia Madani serta sumber kenyataan tersebut iaitu daripada ‘Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 Dewan Negara’.

Sementara di bahagian bawah poster pula tertera perkataan JaPen berserta ikon media sosial.

Namun, sahihkah dakwaan itu? MyCheck semak terlebih dahulu.

 

APA YANG KAMI TEMUI

Sumbangan Tunai Rahmah (STR)

Baru-baru ini rakyat Malaysia khususnya bagi golongan B40 yang berkelayakan menerima bantuan daripada kerajaan yang mana ia dilihat sebagai inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat.

Melalui inisiatif Kerajaan Madani yang dipimpin Anwar, sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah satu pendekatan bagi membela nasib rakyat yang kesusahan terutama bagi golongan kurang berkemampuan dan terjejas.

Menurut kenyataan media yang disiarkan pada 16 Januari lepas, kerajaan telah memperkenalkan konsep Payung Rahmah yang mana program bantuan tunai bagi golongan B40 di bawah Kementerian Kewangan dijenamakan semula kepada STR.

Pembayaran bantuan STR adalah berfasa iaitu STR fasa pertama  diawalkan pada Januari, fasa kedua dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri iaitu pada pertengahan Ramadan atau awal April.

Bagi fasa ketiga pula disalurkan mulai Jun 2023 secara berperingkat.

Oleh kerana pembayaran bagi fasa ketiga ini dibuat dalam tempoh sambutan Hari Raya Aidiladha, tidak mustahil ada yang terkeliru dengan pemberian bantuan seperti ini.

 

Carian Poster Tular Di Media Sosial

MyCheck mulakan semakan dengan meneliti poster tular itu.

Kami dapati terdapat penggunaan ayat ‘Idul Adha’ pada poster berkenaan.

Perkataan yang biasa digunakan di Malaysia bagi merujuk hari raya korban adalah Hari Raya Aidiladha dan bukan ‘Idul Adha’ yang mana perkataan ini sering diguna pakai bagi negara seberang, Indonesia.

Seterusnya kami membuat carian di media sosial dengan kata kunci ‘bantuan idul adha’.

 

pix3

 

Kami menjumpai beberapa hantaran poster yang sama di Facebook seperti di sini dan di sini.

 

pix4

 

Apabila diperhatikan pada keseluruhan poster, terdapat ikon media sosial dan tertulis ‘Jabatan Penerangan Malaysia’.

Kebiasaannya, ikon media sosial itu merujuk kepada templat sumber asal yang memuat naik poster berkenaan.

Kami beralih pula ke Facebook untuk membuat semakan lanjut dan mendapati poster berkenaan seakan sama dengan poster yang sering dimuat naik di media sosial rasmi JaPen.

Adakah pihak JaPen mengeluarkan poster berkenaan?

 

pix5

 

Berdasarkan gambar yang tertera anda boleh lihat poster rasmi JaPen seakan sama dengan poster yang tular.

Ia dapat dilihat melalui logo Malaysia Madani yang sama kedudukannya.

Begitu juga posisi ikon media sosial JaPen.

Bagaimanapun kami tidak menemukan poster tular itu di laman rasmi atau media sosial milik JaPen.

Kami juga tidak menjumpai sebarang hebahan rasmi oleh Perdana Menteri mengenai bantuan raya berjumlah RM1,500 itu.

 

Jabatan Penerangan Malaysia Sahkan Poster Adalah Palsu

pix6

 

Bagaimanapun kami menjumpai kenyataan rasmi JaPen yang mengesahkan bahawa poster mengenai kerajaan akan salurkan bantuan Aidiladha sebanyak RM1,500 itu adalah palsu.

Ia juga diikuti dengan kenyataan rasmi Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil yang turut memaklumkan sebaran berbentuk poster itu palsu.

“Ini sebaran palsu, harap maklum,” menurut Fahmi menerusi akaun Facebook beliau.

 

Semakan Fakta Sebenarnya.my

Semakan fakta Sebenarnya.my turut mengesahkan bahawa dakwaan poster berkenaan adalah tidak benar.

 

KESIMPULAN

Kami mengklasifikasikan dakwaan tular berhubung pemberian bantuan kewangan berjumlah RM1,500 sempena Aidiladha adalah tidak benar.

Tiada sebarang pemakluman rasmi daripada Perdana Menteri berhubung bantuan tersebut bahkan beberapa pihak terlibat juga mengesahkan poster tular berhubung bantuan itu adalah palsu.

Jika dilihat sekali imbas, poster tersebut memang seakan sama dengan poster yang biasa dikeluarkan JaPen kerana ia disunting dengan menggunakan templat poster JaPen.

Namun, jika anda meneliti penggunaan perkataan ‘Idul Adha’ pada poster terbabit, ia jelas mencurigakan kerana kebiasaannya Malaysia menggunakan perkataan Aidiladha untuk perayaan itu.

Tidak mungkin sumber rasmi mengeluarkan kenyataan dengan ejaan yang bukan kebiasaan.

Kami faham, siapa sahaja yang tidak teruja apabila melibatkan bantuan dan sumbangan, lebih-lebih lagi menjelang perayaan yang lazimnya memerlukan banyak kos.

Namun, usah kita terburu-buru percaya atau sebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan orang awam terutama bagi golongan yang memerlukan.

Ingat, jangan sebar melulu, MyCheck dulu!

-- MYCHECK.MY --

 

RUJUKAN 

  1. Anwar Ibrahim - Kenyataan Media 16 Januari 2023 Sumbangan... | Facebook

  2. Facebook - Jabatan PEnerangan WPKL

  3. SUMBANGAN TUNAI RAHMAH

  4. Facebook - Iyla Kyla

  5. Facebook - Yeow Swee Kiat

  6. Facebook - Jabatan Penerangan Malaysia 

  7. Facebook - Fahmi Fadzil 

  8. Dakwaan Kerajaan Setuju Salur Bantuan Idul Adha RM1,500 Adalah Tidak Benar | SEBENARNYA