Siti Jewels Sasar Rm1 Juta Melalui Jualan Sempena Pembukaan Cawangan Di Ipoh
IPOH, 8 Julai (Bernama) -- Kedai emas Siti Jewels menyasarkan jualan sekurang-kurangnya RM1 juta sempena pembukaan cawangan baharunya yang terletak di Meru Raya di sini, yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Pengasasnya, Muhammad Solehuddin Shamsuddin berkata beliau optimis sasaran itu dapat dicapai berdasarkan sambutan menggalakkan daripada kalangan pelanggan untuk membeli pelbagai produk barangan perhiasan emas dengan reka bentuk terkini dan eksklusif.
Katanya Ipoh merupakan cawangan yang keempat selepas Wangsa Maju, Shah Alam dan Cheras dan mula dibuka Mac lepas.
“Sepanjang dua hari ini, pelanggan berpeluang menikmati diskaun sebanyak RM3 per gram bagi pembelian emas 916 berbanding harga emas semasa,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Solehuddin berkata pihaknya bercadang untuk membuka dua lagi cawangan baharu di Johor sebelum Ramadan tahun depan.
“Kami menyasarkan untuk membuka lebih banyak lagi cawangan baharu di seluruh negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.
-- BERNAMA