Sultan Nazrin, Tuanku Zara Berkenan Saksi Pemeteraian Moa Antara Upsi, Oxcis

23/08/2023 12:25 PM

TANJUNG MALIM, 23 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan Oxford Centre For Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom hari ini.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat tiba pada 10 pagi dan disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff semasa berucap berkata UPSI dan OXCIS telah bekerjasama menghasilkan inisiatif  "Qari-in-Residence".

"Program ini akan menyaksikan pelajar daripada program Tahfiz dan Turath Islami menghabiskan keseluruhan bulan Ramadan di OXCIS bermula 2024,” katanya di sini.

Beliau berkata menerusi program itu, pelajar akan melibatkan diri dalam komuniti tempatan di OXCIS dan Oxfordshire melalui pelbagai aktiviti libat urus dan pemindahan pengetahuan dengan masyarakat yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar.

Justeru, Md Amin berkata pihaknya percaya dengan menyelami program berdasarkan pengalaman yang melangkaui bilik darjah, satu generasi baharu huffaz profesional akan dilahirkan dan berdedikasi untuk mengangkat martabat al-Quran dari semua sudut.

Pada majlis penandatanganan MoA itu, Md Amin mewakili UPSI manakala OXCIS diwakili oleh Pengarahnya Dr Farhan Ahmad Nizami.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara diberi penerangan berkenaan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami.

-- BERNAMA