Intipati Belanjawan 2024 : Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat

13/10/2023 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Berikut ialah intipati Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Parlimen hari ini.

Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' melibatkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu Belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dengan RM303.8 adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Ini adalah belanjawan kedua dibentang Anwar, yang juga Menteri Kewangan sejak pembentukan kerajaan Perpaduan pada Nov 2022. Pada Februari tahun ini, Anwar membentangkan Belanjawan yang disemak semula berjumlah RM388.1 bilion.

 

 

  • Kadar pengangguran berjaya turun kepada kadar 3.4 peratus setakat Ogos tahun ini.
  • Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan kepada 8 peratus berbanding 6 peratus sekarang, kecuali perkhidmatan seperti makanan dan minimum serta telekomunikasi.
  • Peruntukan untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan bagi tahun 2024 dijangka mencecah RM81 bilion.
  • Penyasaran semula subsidi secara berfasa dilaksana tahun depan, penjimatan disalur untuk meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.
  • Pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 ringgit sebulan kepada isi rumah miskin tegar diteruskan dengan peruntukan RM55 juta.
  • Kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.
  • Kerajaan tidak akan berdiam diri sekiranya penyasaran semula subsidi dijadikan alasan menaikkan harga dengan semberono dan tidak munasabah.
  • RM2.4 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba.
  • RM18 juta diperuntukan bagi melancarkan reformasi perundangan termasuk persiapan penyediaan Rang Undang-Undang Pelaksanaan Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.
  • RM38 juta disediakan bagi meningkatkan produktiviti institusi kehakiman negara mencakupi baik pulih prasarana serta menaik taraf kemudahan ICT mahkamah yang usang dan rosak.
  • Projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya tahun ini, tekad sama diperhebat tahun depan.
  • RM150 juta disediakan bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 PBT seluruh negara.
  • Kerajaan komited pastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan.
  • Kerajaan negeri harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan MARRIS berjumlah 5.4 bilion ringgit yang disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri dalam keadaan terbaik.
  • RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan RM300 juta dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4.
  • Peruntukan kepada 115 jurutera daerah ditingkatkan daripada RM100,000 kepada RM200,000.
  • RM50 juta disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan. 
  • Fungsi Jabatan Bantuan Guaman akan diperkasakan dalam membela nasib rakyat susah untuk mendapatkan keadilan yang saksama.
  • Tambahan RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri bagi membela rakyat yang jadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan serta kes-kes kebajikan lain di luar negara.
  • Dasar Peluang Kedua diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000. 
  • RM26 juta diperuntukan untuk mempergiat pelaksanaan inisiatif penyediaan perkhidmatan terus kepada rakyat.
  • Kerajaan tambah peruntukan Pusat Respons Scam Kebangsaan kepada RM20 juta berbanding RM10 juta bagi tingkatkan fungsi membanteras jenayah scam.
  • Bank Negara Malaysia dengan kerjasama sektor kewangan sedang membangunkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2024.
  • Peruntukan Persekutuan untuk pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion, manakala untuk pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion.
  • Penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik di Sabah berkuat kuasa pada 3 Jan 2024, kerajaan Persekutuan tetap terus bantu mengukuhkan industri bekalan elektrik.
  • Peruntukan keseluruhan RM6.8 bilion disediakan tahun depan untuk pendidikan TVET.
  • RM100 juta diperuntukkan bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET.
  • Program Academy in Industry akan dilaksanakan untuk sediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan RM70 juta.
  • Kerajaan tawar RM30 juta sebagai galakan kepada pihak industri latih tenaga kerja tempatan bagi sektor utama seperti aeroangkasa, peranti perubatan dan digital.
  • Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dengan Dana Latihan TVET berjumlah RM180 juta sedia pinjaman pendidikan kepada 12,000 pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran.
  • RM17 juta disediakan untuk melaksanakan Program Tahfiz TVET.
  • Pelepasan cukai sehingga RM2,000 ringgit bagi yuran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2026.
  • Kerajaan perluas skop bagi pelepasan gaya hidup meliputi yuran untuk menyertai kursus kemajuan kendiri. 
  • Pusat penjaja dan prasarana pasar awam uzur di 150 kawasan PBT akan dibaik pulih dan dinaik taraf dengan peruntukan RM110 juta.
  • Kerajaan sasar 10,000 gerai-gerai dan warung-warung kecil untuk diperindah dan ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan RM10 juta.
  • RM50 juta untuk bina 4,000 unit ruang niaga baharu yang seragam, selesa dan selamat di seluruh kawasan PBT.
  • RM27 juta diperuntuk untuk perhebat Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan.
  • Tahun Melawat Malaysia ditetapkan semula pada 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik RM97.6 bilion. 
  • Kerajaan sedia RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.
  • Kerajaan komited memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia.
  • Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk pelajar antarabangsa yang tamat pengajian diperkenal bagi menampung keperluan tenaga mahir industri.
  • Kemudahan Visa-On-Arrival, pas lawatan sosial dan tawaran Multiple Entry Visa diperkenal bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari negara India dan China.
  • Kerajaan setuju melonggarkan syarat-syarat sedia ada untuk permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.
  • RM160 juta diperuntuk untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi manfaat penggiat seni.
  • Pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan.
  • Pengurangan kepada lima peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator.
  • Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.
  • Kerajaan bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.
  • Kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan.
  • RM76 juta juga disediakan bagi memperkasakan ekosistem aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi.
  • Kerajaan sediakan RM2.4 bilion kepada Felda, Felcra dan Risda untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.
  • RM90 juta diperuntukkan kepada Risda dan Felcra untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.
  • Kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang, berbanding 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal.
  • RM60 juta diperuntukkan dengan tumpuan untuk melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat.
  • RM10 juta disediakan bagi membantu meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh rakyat yang terlibat dengan konflik hidupan liar.
  • Kerajaan Persekutuan akan mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti sehingga RM1 billion yang melibatkan penanaman semula hutan terosot yang akan menjanakan kredit karbon.
  • Potongan cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang disahkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
  • Tempoh permohonan pengecualian cukai ke atas semua pendapatan perusahaan sosial dilanjutkan sehingga tahun 2025.
  • 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion. 
  • RM20 juta disediakan kepada 150 PBT untuk melaksanakan kerjakerja pembaikan parit dan longkang yang rosak bagi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat.
  • RM563 juta diperuntukkan bagi pembaikan cerun seluruh negara.
  • RM300 juta diperuntukkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku agensi utama bagi persiapan banjir. 
  • Kerajaan akan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat, tambah bilangan anjing pengesan K9 untuk Bomba, Polis dan Kastam dengan peruntukan RM5 juta.
  • Belanjawan MADANI Kedua menyediakan RM2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada para pesawah dan nelayan.
  • Harga lantai belian padi ditingkatkan kepada RM1,300 per metrik tan demi membantu pendapatan pesawah.
  • Peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma ditingkatkan daripada RM40 juta kepada RM50 juta.
  • RM400 juta disediakan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan tumpuan khusus untuk meningkatkan pengeluaran tanaman makanan tempatan.
  • RM50 juta disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan sehingga 50 peratus daripada nilai kerugian akibat bencana kepada petani, penternak dan nelayan.
  • RM50 juta disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi untuk manfaat lebih 240,000 pesawah.
  • Elaun sara hidup nelayan sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan.
  • RM200 juta disediakan untuk meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah antaranya Program Jualan Rahmah dan Program Pasar Rahmah.
  • Pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) manfaat 9 juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia. Kadar maksimum STR meningkat daripada RM3,100 kepada RM3,700 manakala kadar minimum STR untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.
  • Bayaran pertama STR 2024 dinaikkan daripada RM300 kepada RM500, akan disalurkan sebelum Ramadan.
  • Manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diperluas kepada 700,000 penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.
  • Permohonan baharu STR dibuka sepanjang tahun seawal November berbanding setahun sekali dengan bayaran pertama sehingga RM500 dibuat pada Februari 2024. 
  • RM500 juta disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat bagi menambah pendapatan.
  • Semua lantikan MySTEP disediakan tawaran mengikuti program peningkatan kemahiran di bawah platform MyFutureJobs.
  • PERKESO akan menyediakan insentif khas sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan untuk menyokong kemasukan lebih 3,300 pencari kerja dengan peruntukan RM30 juta.
  • Dasar satu peratus Peluang Pekerjaan kepada OKU akan diperluas kepada golongan bekas banduan dan warga emas melalui padanan pekerjaan MYFutureJobs dan program MySTEP.
  • RM35 juta disediakan untuk membiayai yuran latihan dan insentif gantian pendapatan kepada 9,000 pekerja gig yang menghadiri program latihan.
  • Kerajaan bersetuju terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.
  • Bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar, FLYSiswa diteruskan untuk manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu.
  • Kadar tanggungan Kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ditingkatkan kepada 90 peratus dengan peruntukan RM100 juta. 
  • Program i-Sayang KWSP diperluas untuk membolehkan isteri memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja kepada suami. 
  • Siling gaji bulanan bagi caruman PERKESO dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000 beri manfaat kepada 1.45 juta pekerja dan tanggungan.
  • Galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja dilanjutkan sehingga 31 Dis 2027.
  • Had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak ditingkatkan daripada RM2,400 kepada RM3,000.
  • RM568 juta diperuntukkan kepada Kemas untuk pendidikan awal kanak-kanak.
  • 26 prasekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina melibatkan kos RM82 juta.
  • Kerajaan akan melaksanakan Program Pra Tahfiz Kemas dengan peruntukan RM20 juta dengan sasaran untuk melahirkan 100,000 hufaz cilik menjelang 2026.
  • Kerajaan sedia ganjaran RM500 kepada golongan belia yang berjaya melakukan aktiviti kesukarelawanan dengan badan yang diikhtiraf oleh kerajaan.
  • RM20 juta disediakan untuk Rakan Muda memperbanyak pengisian program-program belia.
  • RM30 juta diperuntukkan untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia bagi mempromosi negara sebagai hab pembangunan industri e-sukan. 
  • Komuniti Orang Asli diperuntukkan RM333 juta ringgit berbanding RM305 juta tahun ini.
  • RM1.2 bilion disediakan untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya berkerja dan elaun pekerja OKU.
  • Kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti ditingkatkan kepada RM300 sebulan berbanding RM150 ringgit, lebih 18,000 pelatih OKU dapat manfaat. 
  • RM1 bilion diperuntukkan untuk melindungi kesejahteraan warga emas tahun depan antaranya membiayai bantuan tunai dan penyaluran dana bagi institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas.
  • Elaun Bangunan Industri diberikan kepada Rumah Jagaan Kejururawatan Swasta Warga Emas yang diluluskan Kementerian Kesihatan dengan kadar 10 peratus daripada kos bangunan yang dibina atau dibeli. 
  • RM 10 juta disediakan bagi melaksanakan Program PEKA TVET untuk menyediakan latihan kompetensi yang diakreditasi oleh CIDB kepada para pesalah.
  • Kerajaan bersedia mempertimbangkan akses terkawal kepada keperluan asas termasuk pekerjaan, perkhidmatan serta pendidikan kepada pelarian dan pencari suaka di Malaysia.
  • Kementerian Pendidikan diperuntukkan RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion tahun 2023.
  • RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.
  • 26 sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM2.5 bilion.
  • Kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) diperluaskan kepada RM2,589 berbanding RM1,500.
  • Pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin diperluas sehingga murid tingkatan 3 berbanding sehingga tingkatan 1 sebelum ini.
  • Sebuah Jawatankuasa Khas Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) rentas kementerian akan ditubuhkan.
  • Kerajaan sedia RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.
  • Penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah akan diperluas.
  • RM100 juta disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang terkesan ketika pandemik COVID-19.
  • RM16.3 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi berbanding RM15.3 bilion tahun ini.
  • RM250 juta diperuntukkan untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam.
  • RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di Institut Pengajian Tinggi  serta menggantikan peralatan usang.
  • RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara.
  • Kerajaan menyediakan RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.
  • Pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) ditubuhkan di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal RM20 juta.
  • Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Okt 2023 sehingga 31 Mac 2024.
  • Bermula Januari 2024, yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500.
  • Pelajar sedia ada yang tidak mampu bayar yuran pengajian tidak akan disekat mendaftar subjek pada setiap semester, bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
  • RM41.2 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berbanding RM36.3 bilion tahun ini, iaitu peningkatan terbesar daripada kalangan kementerian.
  • Kerajaan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar pesakit ke hospital lain bagi mengawal kesesakan di hopital KKM dengan peruntukan RM200 juta.
  • RM766 juta disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER).
  • RM150 juta disediakan untuk menyenggara sistem teknologi maklumat di bawah KKM termasuk menyediakan Clinic Management System Subscription (CCMS) di 100 Klinik Kesihatan.
  • Duti eksais ke atas produk tembakau kunyah akan dikenakan pada kadar lima peratus ditambah RM27 sekilogram, seperti mana duti eksais yang dikenakan ke atas tembakau snuff.
  • Kadar duti eksais semasa bagi minuman bergula dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen seliter.
  • Skim Perubatan MADANI diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta yang memanfaatkan 700,000 rakyat, dan meneruskan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi.
  • Kerajaan akan memperkenalkan Program Komuniti MADANI di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bagi mendokong usaha memartabat ekonomi komuniti.
  • Kerajaan sedia peruntukan RM1 bilion di bawah Dana Komuniti MADANI (DKM) bagi menyediakan geran antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan Program Komuniti MADANI.
  • RM1.63 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa.
  • RM939 juta disediakan untuk menyediakan bekalan air kepada 5,150 rumah dan bekalan elektrik kepada 2,200 rumah.
  • Sejumlah RM1.1 bilion disediakan bagi melaksanakan penyelesaian isu bekalan air terutama di Kelantan, Sabah dan Labuan.
  • Program Kampung Angkat MADANI akan diperkenal bagi memberi tumpuan kepada melengkapkan kemudahan asas termasuk internet di kawasan desa yang terpinggir.
  • Usaha gigih akan diperhebat dengan kerjasama syarikat telekomunikasi supaya lebih ramai pengguna dan perusahaan mendapat manfaat daripada rangkaian 5G.
  • CyberSecurity akan membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber 5G serta Kepakaran Tempatan Terhadap Teknologi 5G bagi meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman serangan siber melibatkan peruntukan RM60 juta. 
  • Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya tahun hadapan.
  • Proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b dengan jajaran 366 kilometer melibatkan kos RM15.7 bilion diselesaikan bulan depan.
  • Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 kilometer melibatkan kos hampir RM7.4 bilion mula dilaksanakan penghujung tahun ini.
  • RM96 juta Dana Sokongan Bas Henti-henti disediakan bagi membantu menampung kos operasi harian pengendali bas henti-henti di laluan kurang penumpang di kawasan desa.
  • Subsidi RM209 juta untuk pengangkutan udara bagi manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
  • Manfaat pas bulanan My50 akan diteruskan, beri manfaat kepada lebih 180,000 penduduk Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan bas dan rel Prasarana.
  • Cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini diteruskan.
  • Setakat Ogos, 256 projek sakit atau lebih 28,000 unit rumah telah dipulihkan melibatkan Nilai Pembangunan Kasar RM23.37 bilion.
  • RM2.47 bilion disediakan untuk melaksanakan projek perumahan rakyat bagi tahun 2024.
  • RM546 juta disediakan bagi meneruskan 36 Program Perumahan Rakyat (PPR).
  • 14 Program Rumah Mesra Rakyat diteruskan bagi membina 3,500 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta.
  • Kerajaan memperuntukkan RM460 juta bagi menyediakan bantuan kepada kira-kira 65,000 rakyat susah di desa untuk membina baharu atau membaik pulih rumah yang telah daif.
  • RM100 juta untuk menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana awam dan swasta seluruh negara.
  • Skim Jaminan Kredit Perumahan ditambah baik sehingga RM10 bilion, seramai 40,000 peminjam dapat manfaat. 
  • Ambang persetujuan penduduk untuk jualan en-bloc akan dikurangkan daripada 100 peratus kepada tahap yang konsisten berdasarkan bagi memudahkan pembangunan semula skim strata.
  • RM100 juta diperuntukkan kepada Kampung Baru Cina bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan sosial bagi memastikan kesejahteraan penduduk kampung.
  • Kerajaan bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata empat peratus ke atas surat cara pindah milik harta tanah oleh bukan warganegara dan syarikat milik asing sebagai langkah kawal harga harta tanah.
  • Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dapat sambutan yang penuh semangat Kebangsaan daripada rakyat Sabah dan Sarawak.
  • RM19.7 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan, manakala Kementerian Dalam Negeri diperuntukkan RM19 bilion.
  • Kerajaan akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.
  • Malaysia mengulangi komitmen penyelesaian secara aman menerusi Deklarasi Kod Tatalaku dalam soal pertikaian Laut China Selatan.
  • Keselamatan sempadan dan perairan negara terus dipertahan di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa.
  • Kerajaan akan menambah aset-aset perairan serta membina tujuh pos imbangan.
  • Sebuah agensi tunggal sempadan negara atau single border agency (SBA) akan diwujudkan.
  • RM400 juta disediakan untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
  • RM20 juta disediakan untuk menaik taraf sistem pembetungan Kem Tentera Darat secara berfasa.
  • Setiap program kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran bagi melindungi kebajikan dan pembangunan sosioekonomi golongan berkenaan.
  • RM1.9 bilion dikhususkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
  • Dua institusi pendidikan Islam dibina tahun depan iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan dengan kos RM220 juta.
  • RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam.
  • Penganjuran majlis ilmu oleh tokoh dan ilmuan Islam di seluruh negara khususnya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya akan diteruskan dan diperbanyakkan.
  • Sumbangan khas kepada lebih 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti ditambah menjadi RM700.
  • Geran bantuan RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim dikembalikan semula.
  • Pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 turut diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.
  • RM72 juta diperuntukkan bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.
  • RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.
  • Sejumlah RM50 juta disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.
  • Kerajaan terus menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta.
  • Kerajaan sedia RM50 juta kepada agensi yang berpotensi mengetengahkan karya seni dan sastera negara.
  • RM20 juta disediakan untuk memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai rujukan sosial yang menyediakan perkhidmatan rakyat dan penyebaran maklumat.
  • RM20 juta sebagai Geran Pertubuhan MADANI untuk manfaat penduduk setempat bagi melaksanakan program-program kesukarelaan, perpaduan serta aktiviti pencegahan jenayah dan bencana.
  • RM50 juta disediakan sebagai bantuan kewangan kepada pengurusan rumah-rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar.
  • Kerajaan bersetuju memperluas Kemudahan Bantuan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam yang layak.
  • Liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000.
  • Penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak terima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam RM2,000, dibayar secara sekali gus akhir Feb 2024.
  • Pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen terima Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM1,000, dibayar secara sekali gus akhir Feb 2024 .
  • Malaysia akan lancar tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu warga Palestin dengan dana RM10 juta, gesa syarikat-syarikat serta orang ramai untuk ikut serta.

-- BERNAMA