Insentif Rm2,000 Penjawat Awam Hadiah Sambut Ramadan, Buka Sekolah

15/10/2023 02:32 PM

IPOH, 15 Okt (Bernama) -- Pemberian Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam merupakan hadiah “berganda” kerana akan diterima menjelang Ramadan dan pembukaan sesi persekolahan 2024/2025.

Tidak mengabaikan golongan yang tidak lagi dalam perkhidmatan, semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen juga bakal menerima bayaran insentif berkenaan dengan jumlah RM1,000. 

Pembantu Penerangan, Khuzaimah Mohd Tahir, 50, berkata bayaran insentif yang akan diterima pada akhir Februari 2024 akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anaknya memandangkan sesi persekolahan bermula pada Mac dan umat Islam juga menyambut Ramadan pada bulan sama. 

"Kedua-dua perkara ini (perbelanjaaan persekolahan dan awal Ramadan) sememangnya memerlukan perbelanjaan yang agak besar dan saya fikir insentif ini amat membantu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Penolong Jurutera Mohd Izzuan Ishak, 42, berkata insentif itu satu daripada bantuan sampingan selain berharap kerajaan dapat melaksanakan pelarasan gaji kerana faedahnya bakal dinikmati secara berterusan. 

“Walaupun kita lihat bayaran insentif RM2,000 ini satu jumlah yang agak besar, ia bersifat sementara. Jadi, saya fikir keutamaan kerajaan pada ketika ini ialah melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Muhammad Izzat Siraj Mohd Iyas Zainal Ravi berkata insentif berkenaan sangat bermanfaat kepada veteran sekali gus membuktikan kerajaan tidak mengabaikan kebajikan dan sosioekonomi golongan itu. 

Beliau berharap bantuan itu dapat disalurkan kepada veteran ATM tanpa syarat proses yang rumit sehingga melengahkan bayaran. 

Sementara itu, Sarjan (B) Muhammad Roni Abdul Rahman melahirkan rasa syukur atas pemberian RM1,000 kepada semua veteran ATM dan jumlah berkenaan adalah yang tertinggi setakat ini. 

Muhammad Roni juga berharap agar kenaikan bayaran pencen kepada warga veteran ATM sebanyak dua peratus dapat dikekal atau dinaikkan kerana wang persaraan yang diterima terlalu sedikit.

“Saya berharap insentif ini akan kekal dan kerajaan boleh meningkatkan jumlah insentif pada tahun-tahun akan datang supaya golongan veteran dapat menggunakannya untuk perbelanjaan mereka dan lain-lain (keperluan),” katanya. 

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat mengumumkan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam berjumlah RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bayaran insentif RM1,000 diberi kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua pihak termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform dan bantuan itu turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Bayaran akan dibuat pada akhir Februari 2024. 

-- BERNAMA