Bayaran Fidyah Di Melaka Lepasi Sasaran, Rm2.417 Juta Dikutip Sehingga Oktober

29/11/2023 01:17 PM

MELAKA, 29 Nov (Bernama) -- Sebanyak RM2.417 juta bayaran fidyah berjaya dikutip di Melaka sehingga Oktober dan jumlah itu melepasi sasaran awal kerajaan negeri sebanyak RM2.4 juta.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Islam negeri Datuk Rahmad Mariman berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.77 juta diagihkan menerusi pelbagai saluran program agihan manfaat.

“Ia diagihkan secara langsung kepada asnaf fakir dan miskin semasa Ramadan serta pemberian kit bantuan makanan kecemasan yang disalurkan menerusi pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenal pasti sasaran pengagihannya.

“Selain itu, bayaran fidyah juga disalurkan melalui penyaluran bantuan bencana alam sama ada banjir ataupun kebakaran yang disampaikan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) mengenai agihan fidyah di Melaka pada tahun ini.

Rahmad berkata kadar bayaran fidyah di Melaka adalah RM1.85 bagi sehari puasa ditinggalkan dan peningkatan pembayaran pada tahun ini disebabkan oleh kesedaran orang ramai berbanding kutipan pada tahun lepas berjumlah RM2,239,000.

Menjawab soalan asal dikemukakan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai jumlah kutipan zakat Melaka dari Januari sehingga Oktober tahun ini, Rahmad berkata sebanyak RM104,945,947.88 telah dikutip sehingga 13 Okt lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM60,068,878 disalurkan untuk membantu 8,414 individu membabitkan 158 orang fakir, 8,000 orang miskin dan 256 mualaf melalui 25 skim bantuan yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Sementara itu, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Choo Chin berkata Melaka menerima 1.9 juta minyak masak paket satu kilogram (1kg) setiap bulan dan bekalan itu mencukupi untuk kegunaan kira-kira satu juta penduduk di negeri itu.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Zulkiflee Mohd Zin (BN-Taboh Naning) yang ingin jumlah minyak masak paket 1 kg yang berada dalam pasaran di Melaka.

-- BERNAMA