Mbi Laksana Projek Pembangunan, Penjenamaan Semula Produk Pelancongan Awal Tahun Depan - Mb

19/12/2023 03:34 PM

IPOH, 19 Dis (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan projek penjenamaan semula serta pembangunan beberapa produk pelancongan baharu di sekitar bandar raya ini bermula awal tahun depan.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata peruntukan keseluruhan bagi kedua-dua projek berkenaan akan ditanggung sepenuhnya di bawah insiatif kewangan swasta (PFI).

“Antara produk yang akan dijenamakan semula adalah Taman Jepun di Taman Dr Seenivasagam serta Tin Lakes City di Kolam Rasi Jaya, Gua Tambun yang mempunyai peninggalan Prasejarah Zaman Neolitik.

“Bagi projek pembangunan pula, beberapa produk pelancongan baru di Kawasan Rekreasi Gunung Lang yang berkonsepkan pendidikan dan kekeluargaan akan dibina melibatkan pelaburan jutaan ringgit,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember 2023 di Dewan Mesyuarat MBI di sini, hari ini.

Rumaizi berkata pendekatan ini dilakukan bukan hanya bagi memperkasakan sektor pelancongan bahkan menjadikan Ipoh sebagai satu daripada destinasi tumpuan para pelancong dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, beliau berkata MBI telah merekodkan pendapatan hasil sebanyak RM1.07 juta melibatkan kawasan ekopelancongan Tasik Cermin serta Qin Xin Ling Leisure & Cultural Village, sepanjang tahun ini.

“Berdasarkan rekod tiket masuk ke kawasan Tasik Cermin tersebut terdapat seramai 40,000 hingga 50,000 pengunjung setiap bulan. Di lokasi tersebut para pelancong dibawa merasai pengalaman menaiki bot menyusuri terowong gua dan tasik berkenaan bagi melihat keindahan alam semulajadi.

“Qin Xin Ling Leisure & Cultural Village pula memaparkan budaya dan sejarah penduduk di Malaysia dengan tarikan alam semulajadi kars bukit batu kapur telah menarik sejumlah 20,000 hingga 30,000 pengunjung setiap bulan berdasarkan data tiket masuk,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya melalui Jabatan Pelesenan MBI akan membuka permohonan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan petak niaga Bazar Ramadan pada 26 Dis hingga 10 Jan tahun hadapan.

Tambah beliau sebanyak 19 lokasi dengan anggaran sebanyak 1,310 petak niaga akan dibuka kepada mereka yang memenuhi ktiteria ditetapkan.

“Senarai lokasi boleh dirujuk melalui iklan tawaran penganjuran Bazar Ramadan 2024 yang akan dikeluarkan mulai 26 Dis nanti,” katanya.

-- BERNAMA