Motac Bakal Lancar Pakej Ramadan Untuk Pelancong Muslim Luar Negara

10/01/2024 04:06 PM

SEPANG, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melancarkan Pakej Ramadan kepada pelancong Muslim dari luar negara bagi mengetengahkan keunikan sambutan Ramadan di Malaysia.  

Timbalan Menteri berkenaan Khairul Firdaus Akbar Khan berkata tawaran pakej yang akan dilancarkan pada 15 Jan ini bertujuan mempromosikan pelbagai aktiviti kerohanian dan keistimewaan sambutan bulan mulia itu oleh rakyat Malaysia.

"Di Malaysia ini apabila kita menyambut Ramadan, pelbagai aktiviti kerohanian dan tradisi kita menyambut Ramadan itu perlu dipromosikan kepada seluruh dunia kerana kedatangan Ramadan itu seakan-akan suatu perayaan yang cukup besar.

"Sebab itu kita ingin beritahu kepada masyarakat di luar sana betapa indah dan uniknya, apabila mereka menyambut bulan Ramadan di negara kita," katanya ketika menyambut ketibaan 35 imam dari 14 wilayah di China, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, hari ini.

Ketibaan mereka adalah bagi mengikuti Imam Familiarization Trip: Terokai Malaysia Mesra Muslim selama tujuh hari, anjuran Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA).

Sebagai duta pelancongan mesra Muslim, kehadiran mereka bertujuan untuk menggamit 30 juta penduduk Islam dari Negera Tembok Besar itu ke Malaysia.

Dalam sesi lawatan yang akan berakhir pada 16 Jan ini, mereka akan dibawa mengunjungi tujuh masjid ikonik dalam negara, beberapa lokasi pelancongan terkenal termasuk dusun durian di Bentong, Pahang.

"Apabila kita berjaya menjemput mereka untuk melawat tarikan pelancongan yang berkaitan seni dan budaya tempatan, ini merupakan petanda baik bagi merealisasikan misi kita agar Malaysia dapat diangkat sebagai destinasi utama pelancong beragama Islam," katanya.

Jelas beliau, demi memastikan agenda itu tercapai, pihaknya menerusi Tourism Malaysia akan menonjolkan kepelbagaian produk unik yang membawa ciri-ciri dan budaya tempatan. 

-- BERNAMA