Pelancongan Mesra Muslim Antara Tumpuan Pahang 2024

15/01/2024 02:29 PM

BENTONG, 15 Jan (Bernama) -- Pelancongan mesra Muslim, yang semakin berkembang dalam industri pelancongan antara tumpuan kerajaan Pahang pada tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pepaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri Leong Yu Man. 

Beliau berkata pelancongan Muslim merupakan pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dan mempunyai nilai pasaran pelancongan besar di seluruh dunia yang mencapai kira-kira US$194 bilion dan akan berkembang hingga US$300 bilion pada 2026. 

"Pahang mempunyai potensi besar untuk menerajui pelancongan mesra Muslim dan komitmen kita dapat diterjemahkan melalui penawaran kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan segmen ini, ditambah dengan keunikan budaya, warisan, sejarah, seni bina dan keindahan alam semula jadi. 

"Kita mempunyai lebih 5,000 restoran dan kedai makanan halal yang menyediakan pelbagai hidangan Pahang dan kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan badan pengesahan halal untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian halal bagi memberi keyakinan kepada pelancong Muslim," katanya. 

Leong berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai lawatan pengenalan pelancongan mesra Muslim melibatkan 36 imam dari 14 wilayah di China di The Bentong Farm di sini hari ini, yang turut disertai Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim. 

Kumpulan imam itu dalam lawatan pengenalan yang bertemakan “Imam Fam Trip: Discover Muslim-Friendly Malaysia” anjuran Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA). 

Leong berkata antara sasaran kerajaan negeri bagi pelancongan mesra Muslim ialah pelancong dari China yang sentiasa berada antara kedudukan teratas dalam statistik kedatangan pelancong ke Malaysia, selain mempunyai jumlah penduduk beragama Islam yang ramai. 

Usaha menarik memperkenalkan pelancongan mesra Muslim di negara itu juga menurut Leong, telah dilaksanakan sejak tahun lepas menerusi Tourism Pahang, seperti lawatan kerja ke Guilin, China pada Oktober 2023. 

Lawatan kerja itu antara lain melibatkan pelancaran Halal Culture Tour ke Pahang yang melibatkan pakej pelancongan pada bulan Ramadan, selain kumpulan yang turut melibatkan imam dari China juga dijadualkan datang ke Pahang bagi lawatan pengenalan bermula esok. 

Kumpulan imam itu diharap dapat mempromosikan Pahang dalam kalangan kariah mereka, seterusnya menarik ramai penganut Muslim datang ke negeri ini semasa Ramadan pada Mac ini. 

"Antara yang ditawarkan ialah pengalaman unik berbuka buasa beramai-ramai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 4 yang turut membolehkan mereka merasai keseronokan berkunjung ke bazar Ramadan yang terletak bersebelahan padang, sebelum menunaikan solat tarawih di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1. 

"Untuk pengalaman makanan, Pahang sememangnya terkenal dalam kalangan pelancong China dengan Musang King, kerana durian jenis itu yang terbaik kualitinya adalah dari negeri ini," katanya. 

-- BERNAMA