Niaga Hadapan Msm Capai Paras Rm4,000 Kerana Kebimbangan Output Lemah Dorong Permintaan
Oleh Nurul Jannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup melepasi paras psikologi RM4,000 pada Jumaat berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap output terus merangsang permintaan menjelang bulan perayaan.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata output lemah mungkin menyebabkan paras stok lebih rendah dan dilihat sebagai faktor utama yang mendorong harga ke paras itu, yang kali terakhir dicatatkan pada November tahun lepas.
“Sentimen positif di pasaran minyak mentah turut menyokong pasaran domestik,” katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata harga minyak mentah meningkat pada Khamis, menyebabkan tebaran minyak sawit minyak gas (POGO) menggalakkan bagi minyak sawit untuk kali pertama dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau yakin minyak sawit dijangka kekal pada tebaran lebih kecil atau pada harga premium berbanding minyak saingan seperti minyak soya dan minyak bunga matahari, sekurang-kurangnya sehingga akhir suku pertama disebabkan musim pengeluaran lebih rendah.
Beliau turut menjangkakan permintaan yang kukuh menjelang bulan perayaan seperti Festival Musim Bunga, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Harga minyak dilaporkan merosot pada Jumaat tetapi dengan peningkatan mingguan terbesar sejak Oktober memandangkan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh berbanding jangkaan pada suku keempat dan keyakinan mengenai sentimen bantuan rangsangan China.
Setakat ini, niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada US$81.81 setong dan minyak mentah West Texas Intermediate AS pada US$76.57 setong.
Sewaktu penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Februari 2024 meningkat RM23 kepada RM4,020 satu tan, Mac 2024 menokok RM28 kepada RM4,031 satu tan dan April 2024 menambah RM27 kepada RM4,021 satu tan.
Kontrak Mei 2024 meningkat RM18 kepada RM3,973 satu tan, Jun 2024 menokok RM10 kepada RM3,909 satu tan dan Julai 2024 menambah RM6 kepada RM3,845 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 74,197 lot daripada 64,748 pada Rabu tetapi kepentingan terbuka melonjak kepada 280,857 kontrak daripada 209,735 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan meningkat RM20 kepada RM4,050 satu tan.
Pasaran ditutup semalam bersempena dengan sambutan Thaipusam.
-- BERNAMA