Ppj Jangka 200 Tapak Niaga Bazar Ramadan Ditawar Minggu Depan

27/01/2024 04:22 PM

PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) -- Dua ratus petak niaga dijangka mula ditawarkan minggu depan bagi lima tapak bazar Ramadan tahun ini, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.

Beliau berkata PPj telah menerima 700 permohonan penyewaan tapak bazar Ramadan tahun ini.

Katanya terdapat lima tapak bazar di Putrajaya dengan yang terbesar adalah terletak di Presint 3 dan lokasi lain di Presint 11 dan 14.

"Kelainan kali ini di Presint 14 kami bagi tugas dan tanggungjawab kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk urus tapak bazar termasuk memilih peniaga dan kami menggalakkan peniaga daripada Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Kids Fest 2024 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, di sini hari ini.

Sementara itu, Fadlun berkata PPj dan KRU Studios akan bekerjasama mewujudkan zoo haiwan jinak di Taman Wetland yang dijangka tahun ini.

"Tapak kami dah kenal pasti tapi isu utama adalah sistem pembetungan. Bila (sistem) dah diwujudkan, kami akan adakan zoo haiwan jinak di Taman Wetland. Kami kena tengok kemudahan sokongan seperti tempat letak kereta dan tempat makan untuk memastikan pelawat selesa," katanya.

Fadlun berkata cadangan mewujudkan zoo haiwan jinak itu merupakan sebahagian pembangunan menjadikan Taman Wetland sebagai kawasan ekopelancongan di Putrajaya.

-- BERNAMA