Str Ringankan Beban Perbelanjaan Harian Golongan Kurang Berkemampuan

29/01/2024 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menyifatkan sumbangan itu dapat meringankan beban perbelanjaan keperluan harian mereka dalam situasi kos sara hidup masa kini.

Ibu tunggal kepada tiga anak, Aminah Dahlan, 64, berkata duit bantuan itu akan digunakan untuk melunaskan komitmen bulanan seperti bil ulititi selain bagi membeli barangan asas untuk kegunaan keluarga.

“Pemberian STR ini juga tepat pada waktunya kerana tidak lama lagi kita akan sambut Ramadan, jadi bolehlah guna wang itu untuk beli barangan bagi persiapan puasa dan raya. 

“Kerajaan patut teruskan inisiatif seperti ini untuk bantu golongan susah, sebab bantuan macam ini banyak ringankan beban kami golongan ibu tunggal,” katanya yang turut bersyukur dengan langkah kerajaan menaikkan nilai STR kali ini. 

Pembantu pemasaran, Nur Fatihah Abdul Aziz, 26, turut bersetuju agar bantuan STR ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia amat diperlukan bagi mereka yang tidak mampu bekerja atas faktor kesihatan, selain kepada golongan B40 yang diketahui mempunyai pendapatan terhad.

“Jumlah (bantuan) itu dapat bantu untuk jangka masa pendek...kos hidup tinggi sekarang walaupun duduk di luar bandar. Saya harap STR dapat dinaikkan pada masa akan datang ataupun turunkan sedikit harga barangan,” katanya.

Mohamad Faridzul Hakim Mohd Nizam, 25, yang bekerja sebagai seorang pemandu lori pula berkata langkah kerajaan mewujudkan program STR wajar dipuji kerana ia dapat membantu menampung keperluan  keluarga.

“Sebagai pencari nafkah utama dalam keluarga, STR sangat membantu meringankan beban saya. Jadi, langkah ini memang bagus, tetapi pendapat saya kerajaan kalau boleh tapis elok-elok golongan mana yang mampu dan tak mampu sebab ramai lagi yang susah di luar sana,” katanya.

Penolong Pegawai Penyelidik di Majlis Bandaraya Ipoh, Nurul Hamizah Nor Ahmad Kefli, 25, pula berkata bantuan STR yang diterimanya akan disimpan untuk tabung kecemasan.

“Gaji bulanan sebenarnya cuma cukup untuk tampung makan minum harian serta duit minyak pergi dan balik kerja, jadi bantuan disalurkan ini boleh dijadikan simpanan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan menyalurkan pembayaran STR Fasa 1 kepada 8.2 juta penerima, bermula hari ini.

Pembayaran itu akan dibuat kepada penerima yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat, mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

-- BERNAMA