Lebih 14,000 Penjual, Jenama Sedia Untuk Ramadan-raya Dengan Tiktok Shop Di #grrrwm 2024

01/02/2024 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- TikTok Shop mengetengahkan potensi platform shoppertainment pada Ramadan ini dengan penganjuran persidangan Get Ramadan Raya Ready With Me #GRRRWM 2024 yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Peneraju Rakan Kongsi, Nur Azre Abdul Aziz daripada TikTok Shop Malaysia berkata TikTok Shop telah terbukti menjadi platform yang efektif untuk memberi inspirasi dan mempengaruhi komuniti semasa musim perayaan penting seperti Ramadan dan Raya.

Beliau berkata setakat ini, tanda pagar #Ramadan memiliki tontonan berjumlah 74.3 bilion manakala tanda pagar berkaitan seperti #BajuRaya menyaksikan tontonan sebanyak 1.2 bilion dan 1.8 bilion lagi bagi #HariRaya. 

Mengenal pasti potensi ini, Nur Azre berkata TikTok Shop telah menganjurkan Persidangan #GRRRWM 2024 untuk memperkasa penjual, jenama dan pencipta yang ingin memanfaatkan platform itu bagi Ramadan dan Raya serta menyaksikan lebih 800 peserta menghadiri majlis pelancaran, bengkel dan sesi perkongsian sepanjang hari dengan 13,600 lagi mengambil bahagian dalam acara itu secara penstriman langsung di TikTok, @sellwithtiktokshop_my.

"TikTok Shop memperkasa pembeli mahupun penjual semasa Raya dan Ramadan dengan menyediakan pengalaman membeli-belah yang lancar serta membolehkan mereka bersiap sedia untuk musim perayaan ini. Kami berasa bangga menjadi sebahagian daripada tradisi unik Malaysia ini dan kami ingin memberi peluang kepada komuniti Malaysia kita untuk berhimpun, saling belajar dan mewujudkan peluang kerjasama, idea inovatif dan pelancaran baharu yang mengujakan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nur Azre, bagi merangsang libat urus dan suai tugas lebih lanjut dalam kalangan penjual, TikTok Shop akan melancarkan dua kempen Ramadan bagi membolehkan mereka menarik perhatian penonton sepanjang musim perayaan ini.

Ini termasuk kempen #TikTokShopBazarRamadan 2024 dan #TikTokShopBazarRaya 2024 yang akan dimasukkan dalam aplikasi dengan beberapa ganjaran bonus di luar talian.

“Penjual yang menyertai kempen ini akan menerima baucar platform iaitu termasuk potongan harga dan penghantaran percuma bagi membantu mengubah penonton kepada pembeli. Jenama tempatan, melalui kempen #JomLokal, juga akan menerima bantuan tambahan. Di luar aplikasi itu, kempen akan dipergiat dengan periklanan fizikal, iklan trak bergerak dan pengagihan sampul raya khas.

“Pencipta seperti @tulippetals dan @almiyaz.my pula memperinci butiran pembelajaran dan penguasaan di platform TikTok Shop, berkongsi pengalaman, cabaran dan strategi spesifik mereka yang terbukti berjaya. Mereka menceritakan bagaimana TikTok Shop telah menjadi alat penting kepada mereka terutama dalam memaksimumkan peluang sepanjang musim perayaan dan pelbagai kempen,” katanya.

Selain itu, beliau berkata TikTok Shop komited memacu pertumbuhan usahawan kecil luar bandar susulan pelancaran #JOMLokal tahun lepas melalui kerjasama dengan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Ketika ini, TikTok Shop menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menganjurkan pertandingan penstriman secara langsung dalam kalangan penjual di bawah perbadanan itu dan menjalankan beberapa projek dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Menjelang Raya, TikTok Shop menjalin kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menggalakkan penjual di enam negeri menjalankan jualan secara penstriman langsung. Satu karnival penstriman langsung juga sedang diusahakan bagi menyokong peruncit di luar talian dalam usaha meningkatkan saluranjualan mereka. TikTok Shop juga menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri untuk terus memperkasa jenama luar bandar dan tempatan untuk pergi lebih jauh,” katanya.

-- BERNAMA