BANK MUAMALAT GERAK KEMPEN #GENGSUBUHMACAMJUMAAT DI EMPAT BUAH NEGERI
KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menyahut seruan kerajaan untuk meneruskan kesinambungan kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dicetuskan oleh selebriti tanah air, Alif Satar dengan menganjurkan program tersebut di empat buah negeri bermula Sabtu lalu.
Kempen pertama yang bermula di negeri Selangor telah berlangsung pada 2 Februari lalu dengan kerjasama Masjid At-Taqwa Bandar Bukit Mahkota, Bangi dan ia akan diteruskan di negeri Kelantan pada 16 Februari 2024 (Jumaat), Melaka pada 17 Februari 2024 (Sabtu) dan Pahang pada 24 Februari 2024 (Sabtu).
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya melihat usaha untuk menghimpunkan jemaah khususnya anak muda ke masjid dan surau itu sebagai satu inisiatif yang harus disemarakkan dan disambut baik oleh semua pihak khususnya sektor korporat berteraskan Islam.
"Sebagai sebuah institusi perbankan Islam penuh, Bank Muamalat komited untuk menjadi bank pertama yang menyambut usaha murni ini melalui program tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility, CSR) yang giat kami jalankan di seluruh negara.
"Tambahan pula, menjelang bulan Ramadan yang hampir tiba, program sebegini harus diluaskan supaya ia akan menjadi satu kilang pahala untuk diteruskan di bulan puasa dan bulan-bulan seterusnya nanti," katanya.
Tambah Khairul, dengan komitmen untuk mencipta 'Kehidupan Lebih Baik, Bersama', Bank Muamalat juga bercadang untuk memperluaskan program #GengSubuhMacamJumaat ini ke negeri-negeri lain.
Untuk maklumat lanjut berkenaan lokasi kempen #GengSubuhMacamJumaat oleh Bank Muamalat, anda boleh melayari laman media sosial rasmi Bank Muamalat.
Mengenai Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat)
Bank Muamalat adalah perbankan Islam terkemuka yang komited untuk menyediakan "Kehidupan Lebih Baik, Bersama" dengan penyelesaian kewangan yang inovatif sejajar dengan prinsip Syariah. Dengan dedikasi untuk mencipta perubahan positif dalam industri kewangan dan fokus yang kukuh kepada kepuasan pelanggan, Bank Muamalat menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang disesuaikan untuk individu, perniagaan dan institusi.
Link: https://drive.google.com/drive/folders/1-6FGXwK2ttxVAEHdg6zsghNne_Scekv1?usp=drive_link
SUMBER: Bank Muamalat Malaysia Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Syahida Azureen
Tel: +6012 242 3696
E-mel: syahida.azureen@muamalat.com.my
Nama: Mohd Nazrul Hafizi
Tel:+6017 921 1384
E-mel: mohd.nazrul.hafizi@muamalat.com.my
--BERNAMA