300 Kg Daging Dijual Dalam Masa Sejam Di Jualan Agro Madani

27/02/2024 03:47 PM

DUNGUN, 27 Feb (Bernama) -- Tidak sampai sejam, 300 kilogram (kg) daging lembu tempatan berharga RM28 sekilogram habis dijual pada program Jualan Agro MADANI di tapak pasar malam Sura Gate, di sini, hari ini.

Selain itu, 350 ekor ayam segar yang dijual pada harga RM7.90 sekilogram juga habis dibeli pengunjung dalam sekelip mata selepas diserbu orang ramai yang mula menunggu seawal pukul 7.30 pagi.

Seorang pengunjung Norlinda Suriani Amri, 37, dari Kampung Balai Besar berkata beliau beratur seawal pukul 7.30 pagi untuk mendapatkan enam kg daging dan 10 ekor ayam sebagai persiapan menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Norlinda berkata beliau sangat teruja kerana harga daging yang ditawarkan di program Jualan Agro MADANI itu jauh lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu RM36 hingga RM38 bagi setiap 1kg.

"Lagi satu.. saya sangat puas hati kerana tiada had pembelian ditetapkan di jualan Agro MADANI... saya beli dalam kuantiti yang banyak untuk stok bulan puasa kerana harga daging biasanya akan naik mendadak. Boleh cecah hingga RM40 sekilogram," katanya ketika ditemui di program jualan itu, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung Rosnawati Said, 57, berkata beliau tidak menyangka harga barangan seperti daging, ayam, sayur-sayuran, makanan dan buah-buahan yang dijual di Jualan Agro MADANI sangat rendah berbanding harga biasa.

Rosnawati yang juga pesara kerajaan berkata sebelum ini beliau tidak berkesempatan untuk mengunjungi program jualan yang dianjurkan kerajaan perpaduan itu disebabkan kekangan masa.

"Sebelum ini memang biasa dengar tentang Jualan Rahmah dan Agro MADANI daripada jiran-jiran, tetapi saya tidak selesa untuk bersesak-sesak dan berpendapat harga barangan biasanya tidak banyak beza.

"Namun selepas datang dan tengok sendiri, memang rasa sangat rugi tak datang awal-awal. Memang dapat jimat banyak kalau membeli di sini," katanya.

Sementara itu peniaga daging Ahmad Daniel Haris, 27, berkata program Jualan Agro MADANI bukan sahaja membantu pengguna menjimatkan perbelanjaan dapur, malah memberi peluang peniaga menambah pendapatan serta memperluas rangkaian keusahawanan peniaga setempat.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat membanyakkan lagi program seumpama itu pada masa akan datang memandangkan sambutan yang menggalakkan diterima daripada orang ramai pada setiap sesi jualan.

"Hari ini saya bawa 500kg daging lembu… semua dah habis dijual dalam masa tidak sampai tiga jam. Walaupun harga jualan lebih rendah, daging dapat dijual dalam jumlah yang banyak. Ia boleh dianggap situasi menang-menang bagi pembeli dan peniaga," katanya.

-- BERNAMA