Fasha Sandha Tidak Putus Terima Tawaran Kerja
BANGI, 28 Feb (Bernama) -- Tidak putus-putus menerima tawaran kerja, aktres Fasha Sandha, 40, menganggap rezeki yang diperolehnya adalah tuah daripada keluarganya.
Dikenali sebagai antara pelakon berdisiplin, bintang filem Cicak-Man ini juga percaya sikap itu rahsia kejayaannya untuk terus bertahan dalam karier seni.
"Alhamdulillah, ini semua rezeki anak-anak dan suami. Saya tak sangka masih bertahan sehingga hari ini dan masih menerima tawaran lakonan... rasanya kerana disiplin juga saya berada pada tahap ini, dan saya juga akan mendidik adik saya, Elisya Sandha (aktres) untuk membuat perkara sama (mengamalkan disiplin)," katanya selepas melancarkan pembukaan cawangan baharu ALFARO Exclusive di sini baru-baru ini.
Walaupun sibuk dengan kerjayanya itu, isteri kepada pelakon Aidil Aziz ini tetap mendahulukan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga cahaya matanya.
"Paling penting, suami isteri kena tahu menghormati. Sebagai isteri pula sebesar atau setinggi mana, suami tetap di atas. Pastikan makan pakai semua tersedia. Sesibuk mana pun kita, jangan pernah melupakan apa isteri (patut) lakukan. Bukanlah nak kata saya sempurna atau wanita solehah, tetapi saya cuba jadi isteri dan ibu yang baik," katanya.
Berkongsi kerjasamanya dengan ALFARO, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan ini bersyukur diberikan kepercayaan menjadi duta kepada jenama berkenaan selama dua tahun.
"Alhamdulillah, saya teruja menjadi sebahagian daripada keluarga ALFARO. Setiap rekaan baju ALFARO sangat cantik dan eksklusif manakala harga pula berpatutan," katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri 50 episod berjudul Malang Si Puteri bermula 11 Mac ini.
Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ALFARO Farooq Ahmed Khan berkata pihaknya memilih untuk bekerjasama dengan Fasha Sandha kerana komitmen dan disiplin yang tinggi sekali gus mampu memberi pengaruh besar kepada impak perniagaan mereka.
"Kehadiran dia boleh membantu memberi hasil jualan lebih daripada jangkaan sasaran kami,” katanya yang menyasarkan jualan sehingga RM5 juta bagi koleksi Ramadan dan Raya tahun ini.
Sempena musim perayaan yang bakal tiba, jenama pakaian itu menawarkan 150 rekaan abaya dan 95 rekaan baju kurung dan moden pada harga RM19 hingga RM199 selain 33 rekaan beg tangan pada harga RM139.
"Kali ini, kita fokus kepada penggunaan kain broked dan kain nida, yang semuanya dijahit sendiri di kilang kami di Dubai. Komitmen kami adalah dengan menyediakan produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan serta memberi pengalaman beli-belah terbaik," katanya.
Sebelum ini, ALFARO terpilih sebagai pemenang Asia Pacific Enterprise Awards 2023 dalam kategori Fast Enterprise Award selepas meraih Anugerah Pensijilan Pengguna Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara, tahun lepas.
-- BERNAMA