Niaga Hadapan Msm Ditutup Tinggi

29/02/2024 09:42 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini kerana kebimbangan terhadap pengeluaran lebih rendah dan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh telah meningkatkan sentimen belian dalam pasaran minyak sawit.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata harga MSM kekal pada paras sokongan RM3,850 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM4,000 setan metrik.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) diniagakan lebih tinggi berikutan lonjakan permintaan dalam minyak sawit menjelang bulan Ramadan bermula 11 Mac 2024.

"Melangkah ke depan, pasaran akan memberi tumpuan kepada Persidangan dan Pameran Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2024 di Malaysia pada minggu pertama bulan Mac depan," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2024 naik RM42 kepada RM4,025 setan metrik, April 2024 meningkat RM62 kepada RM4,018 setan metrik dan Mei 2024 menambah RM63 kepada RM3,970 setan metrik dan Jun 2024 melonjak RM61 kepada RM3,904 satu tan metrik.  

Manakala kontrak bulan Julai 2024 menambah RM53 kepada RM3,835 satu tan metrik dan Ogos 2024 naik RM48 kepada RM3,781 setan metrik.

Jumlah dagangan melonjak kepada 64,468 lot daripada 55,216 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 253,387 kontrak daripada 243,724 kontrak sebelumnya. 

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan naik RM40 kepada RM4,070 setan metrik.

-- BERNAMA