54 Pelajar Terima Bantuan Persekolahan Yiked

05/03/2024 05:45 PM

KUALA NERANG, 5 Mac (Bernama) -- Seramai 54 pelajar menerima bantuan beg serta peralatan persekolahan daripada Yiked Bina Sdn Bhd dan EDOTCO Group Sdn Bhd di Kampung Labi  di sini, hari ini.

Pengurus Besar Yiked Bina Sdn Bhd Khairul Anuar Omar berkata selain bantuan persekolahan, pihaknya turut membiayai kos membaik pulih surau di Kampung Tualak di sini, dengan peruntukan sebanyak RM80,000 melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

“Bersempena dengan pembinaan menara telekomunikasi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dekat surau ini, kita ambil kesempatan untuk berbakti kepada penduduk di tempat kita dirikan menara.

“Alhamdulilah, penduduk  dapat menjalani ibadah dengan selesa selepas Surau Al-Taqwa dibaik pulih termasuk penukaran bumbung dan tingkap, karpet baharu, pendingin hawa serta sistem pembesar suara,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan yang disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Salehuddin.

Khairul Anuar berkata kerja-kerja membaiki surau yang bermula pada Oktober 2023 dan siap Januari lepas itu dapat memanfaatkan lebih 60 jemaah yang sebelum ini menjalankan program ibadat dan kerohanian dalam suasana surau yang uzur.

Sementara itu, Tengku Sarafuddin yang juga Pengerusi Yiked Bina Sdn Bhd berharap program CSR seumpama itu dapat diteruskan pada masa depan dalam usaha membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

“Program bagus kepada penduduk, saya harap sumbangan CSR ini akan diteruskan oleh Yiked dan EDOTCO di daerah-daerah yang memerlukan bantuan.

“Baik pulih surau selesai seminggu sebelum Ramadan, saya rasa penjadualan dia bagus. Siap sebelum Ramadan, jadi bagus untuk penduduk kampung di sini beribadat dengan lebih selesa,” titah baginda.

-- BERNAMA