Kpdn Perak Sedia Anjur Bazar Ramadan Rahmah Seluruh Negeri Tahun Ini

06/03/2024 06:08 PM

IPOH, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bersedia menganjurkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) sepanjang bulan puasa ini di seluruh negeri.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalluddin Ismail berkata pada masa ini, pihaknya hanya menunggu arahan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kementerian berhubung penganjuran bazar berkenaan.

“Di peringkat negeri, kita bersedia untuk menyambut penganjurannya yang dilihat berperanan dalam memberikan manfaat kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Cuma pada kali ini, kita akan pastikan kelemahan yang terjadi sebelum ini diperbaik terutama membabitkan lokasi. Kita akan pastikan lokasi yang dianjurkan bazar ini berpotensi menarik kehadiran pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Program Jualan Ihsan Rahmah Back to School Peringkat Negeri Perak 2024 di Pasaraya Mydin Meru di sini hari ini.

BRR yang dilancarkan pada 27 Mac tahun lepas merupakan inisiatif diperkenalkan oleh KPDN di bawah Payung Rahmah yang bertujuan menawarkan makanan dengan harga berpatutan, sekali gus membantu dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

Mengulas mengenai program jualan itu, Kamalluddin berkata ia diadakan serentak di 36 pasar raya di seluruh negeri bermula 6 hingga 10 Mac ini yang bertujuan mengurangkan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

“Antara pasar raya terlibat ialah Mydin, Aeon, Lotus, Econsave dan Syarikat Sakan. Melalui pelaksanaan program ini juga diskaun 10 hingga 30 peratus ditawarkan kepada mereka yang datang membeli di pasar raya berkenaan.

“Kita beri jaminan bahawa setiap kelengkapan sekolah yang dijual di pasar raya itu mempunyai kualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh melayari laman Facebook dan TikTok KPDN Perak untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung program berkenaan.

-- BERNAMA