Umno Labuan Anjur Program Ziarah Ramadan, Sasar Bantu 300 Keluarga Miskin Tegar
LABUAN, 9 Mac (Bernama) -- UMNO Labuan akan meneruskan tradisi dengan menganjurkan program ‘Ziarah Kasih Ramadan’ dengan menyasarkan membantu 300 keluarga daripada golongan miskin tegar sempena bulan Ramadan tahun ini.
Inisiatif yang dimulakan pada tahun 2008 ini akan menyaksikan keluarga yang terpilih oleh 30 cawangan UMNO bahagian di pulau bebas cukai itu akan menerima sumbangan berupa kewangan dan keperluan makanan.
Ketua UMNO Labuan Datuk Rafi Alli Hassan berkata saringan keluarga yang layak akan dijalankan jawatankuasa UMNO cawangan dengan kerjasama ketua kampung.
"Bilangan sasaran tetap sama seperti tahun lalu dengan 10 keluarga setiap cawangan UMNO menjadikan jumlah 300 keluarga di seluruh 30 cawangan kami," katanya kepada pemberita selepas Program Kembali ke Sekolah di Desa Tunas Hijau di sini hari ini.
Katanya penerima tambahan semasa program itu akan ditentukan berdasarkan keperluan.
Beliau berkata inisiatif 'Ziarah Kasih Ramadan' bertujuan untuk meringankan beban kewangan keluarga miskin tegar.
"Kami akan mula melawat keluarga miskin tegar yang disenaraikan dari minggu pertama Ramadan hingga minggu ketiga," katanya.
-- BERNAMA