Rakyat Papar Manfaat Program Jualan Rahmah Madani Buat Persiapan Ramadan
PAPAR, 10 Mac (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI yang dianjurkan di sini hari ini, dimanfaatkan sepenuhnya umat Islam di daerah ini untuk membuat persiapan kedatangan Ramadan.
Tinjauan Bernama mendapati penduduk setempat tidak melepaskan peluang mengunjungi program jualan murah itu yang berlangsung di Padang Kawad Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah di Kinarut dekat sini, seawal pukul 8 pagi tadi.
Penjawat awam Syahfiq Mohodin, 31, ketika ditemui berkata program itu amat membantu penduduk khususnya golongan B40 untuk mendapatkan barang keperluan asas pada harga berpatutan khususnya menjelang Ramadan, sekali gus menjimatkan kos perbelanjaan.
"Saya membeli barang keperluan dapur seperti minyak masak, tepung dan gula sebagai persiapan menyambut Ramadan. Program seperti ini memang dapat membantu penduduk mengurangkan kos perbelanjaan," katanya.
Pada program itu, antara barangan yang dijual ialah minyak masak lima kilogram yang dijual pada harga RM22 berbanding harga pasaran RM30.90 dan kicap manis dengan harga RM3.75 berbanding RM5.30.
Selain itu, ubi kentang juga dijual pada harga RM2.90 sekilogram berbanding RM4.10 sekilogram, tepung gandum 850 gram berharga RM2.30 berbanding RM3.25, satu papan telur ayam RM14 serta ayam pula dijual RM8 sekilogram.
Pengunjung yang bertuah juga boleh mendapatkan harga lebih murah menerusi slot Happy Hour yang diadakan pada program itu.
Sependapat dengan Syahfiq, suri rumah Saliah Awang Jalil, 54, mengakui dia hadir ke program itu untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding di tempat lain.
Bagi penjawat awam Judith @ Rosni Valintinus, 56, dia merasakan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI perlu diteruskan terutama menjelang Aidilfitri agar orang ramai boleh membeli barangan keperluan pada harga yang berbaloi dan berkualiti bagi membuat persiapan menyambut perayaan.
“Saya tidak sangka awalnya saya peruntukkan dalam RM200 ke RM300 saja, tetapi pada Jualan Rahmah ini saya hanya bayar bawah RM100 untuk kira-kira 10 barangan termasuk dua papan telur ayam, roti, sabun pencuci, gula, kicap dan minyak masak,” katanya.
Program Jualan Rahmah MADANI ialah satu inisiatif di bawah Payung Rahmah yang diperkenalkan kerajaan, bertujuan membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA