'mengabas' Kubur Cetus Idea Suri Rumah Jual Air Bancuhan Kayu Cendana
Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin
KUCHING, 10 Mac (Bernama) -- Menjadi kelaziman bagi umat Islam di bandar raya ini untuk menziarahi kubur atau dalam bahasa Melayu Sarawak ‘mengabas kubur’ saudara-mara mereka setiap kali menjelang Ramadan.
Selain bertujuan menitipkan doa untuk saudara-mara yang telah meninggal dunia, pengunjung tanah perkuburan itu juga akan membersihkan kawasan kubur.
Kelaziman ini telah mencetuskan idea kepada seorang suri rumah, Nur Islam Jobli, 46, menghasilkan dan menjual air bancuhan kayu cendana kepada pengunjung untuk disiram di pusara saudara-mara mereka.
“Air ini dibancuh dari rumah dan dibotolkan, jadi mudah untuk mereka siram dan bawa ke mana-mana… sebelum ini air cendana ini kami bungkus dalam plastik.
“Kami berjual waktu nak puasa atau hari Raya sebab memang ramai orang datang ‘ngabas’ kubur dan menariknya hanya di tanah perkuburan Islam Semariang sahaja ada dijual air ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tanah perkuburan itu hari ini.
Tanah Perkuburan Islam Semariang merupakan tanah perkuburan Islam terbesar di Sarawak dan ketika tinjauan hari ini, ratusan pengunjung sudah membanjiri kawasan itu.
Berkeluasan 25 hektar, tanah perkuburan itu mula digunakan pada 1982 dan kini menempatkan lebih 16,000 pusara.
Nur Islam mula berjual air bancuhan kayu cendana itu seawal 7 pagi dan menurut ibu kepada empat orang anak itu, dia turut menyediakan sebungkus plastik mengandungi pelbagai jenis bunga serta daun pandan yang diracik, dengan harga RM5 setiap satu pek.
Dia yang turut dibantu anak perempuannya berkata jumlah jualan harian mampu mencecah lebih RM300 atau 60 botol sehari bergantung kepada keadaan cuaca.
“Kalau hujan, kurang orang datang membeli tapi macam hari ini cuaca sangat baik, jadi ramai yang datang ngabas,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan itu sejak 16 tahun lepas.
-- BERNAMA