Makanan Jadi Penghubung Budaya Pelajar Malaysia Di Luar Negara

11/03/2024 11:27 AM

Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Makanan tempatan menjadi elemen penting yang terus mengikat dan menghubungkan pelajar Malaysia di luar negara dengan asal usul dan budaya mereka di sini.

Nurul Yasmin Yuhanis Ahmad Yunus, 24, pelajar pertukaran dari Malaysia yang belajar di Universiti Tsukuba di Jepun, menceritakan kepentingan masakan Malaysia dalam menghubungkan dirinya dengan tanah air.

"Masakan Malaysia sangat bermakna buat saya. Sebelum saya datang ke Jepun saya selalu dengar orang kata mereka rindukan makanan Malaysia ketika berada di luar negara, terutamanya makanan pedas dan makanan mamak. Apabila saya jauh dari Malaysia, saya benar-benar faham mengapa," katanya kepada Bernama. 

Walaupun beribu batu berkelana, Nurul Yasmin berjaya mencari restoran Malaysia di Jepun seperti Rasa Malaysia di daerah Ginza di Tokyo.

"Menjumpai makanan yang dikenali di sebuah negara asing buat saya rasa seperti berada di tanah air dan mewujudkan rasa nostalgia," katanya.

Apatah lagi beliau dan kawan-kawan kerap memasak dan berkongsi masakan Malaysia dengan rakan sekelas dari negara lain justeru menjalinkan hubungan silang budaya menerusi makanan.

S. Sirobinii, 23, seorang lagi pelajar Malaysia di Universiti Lakehead, Kanada, turut menyuarakan sentimen yang sama.

"Masakan Malaysia sering dikaitkan dengan budaya dan akar umbi kita...membuatkan saya selesa dan rasa senang di luar negara. Makanan sangat penting untuk membuatkan kita berasa seperti berada di rumah walaupun kita berada di luar negara," jelasnya.

Pengalaman Sirobinii mencetuskan pertukaran budaya menerusi perbincangan mengenai kepentingan makanan yang membawa kepada pemahaman silang budaya dalam kalangan rakan-rakan antarabangsanya.

Sementara itu A. Vikesh Varma, 23, pelajar di Indonesia menzahirkan rasa bangga berkongsi budaya Malaysia menerusi makanan.

"Makanan ialah cara terbaik untuk mempromosikan budaya kita dan mengetengahkan makna signifikan di sebalik setiap masakan. Dalam apa jua perayaan, makanan 'menceritakan' tentang budaya kita, menarik orang lain untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia," katanya.

Norfara Faziera Mohd Razali, 26, yang belajar di Korea Selatan, percaya dengan berkongsi hidangan Malaysia boleh membawa kepada perbualan bermakna.

"Makanan ialah topik memulakan perbualan yang baik apabila anda berada di luar negara, terutamanya apabila anda dari negara yang menawarkan banyak resipi dan cita rasa yang hebat," katanya.

Menerusi perbincangan mengenai makanan, Fara dan rakan-rakannya belajar tentang budaya masing-masing dan kesukaan terhadap kepelbagaian makanan mengeratkan hubungan mereka.

Penuntut Malaysia ini bukan sahaja melanjutkan pengajian di luar negara tetapi juga merapatkan jurang budaya dengan memperkenalkan rakan-rakan mereka kepada masakan Malaysia.

Pengalaman mereka menunjukkan bahawa makanan merupakan bahasa sejagat sebagai alat yang memperkenalkan warisan budaya dan membina hubungan merentasi sempadan.

Nurul Yasmin yang tidak sabar menantikan kehadiran bulan puasa berkata: "Saya sudah berada di sini (Malaysia) dan saya tidak sabar untuk Ramadan bermula. Saya tidak sabar untuk berkunjung ke bazar Ramadan dan menikmati hidangan dan masakan rumah sebanyak mungkin."

-- BERNAMA