Bazar Ramadan Fama Di Tiga Lokasi Di Perlis
KANGAR, 11 Mac (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis akan menganjurkan bazar Ramadan FAMA di tiga lokasi di negeri itu sepanjang Ramadan ini yang dijangka memberikan manfaat kepada 132 usahawan.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata penganjuran bazar Ramadan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) itu akan berlangsung di Arau dan Kangar.
"Sempena Ramadan ini kita akan adakan bazar Ramadan FAMA di tiga lokasi iaitu bazar Ramadan Simpang Empat (dekat Arau), bazar Ramadan Dataran MAIPs (Kangar) dan bazar Ramadan Pasar Tani Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh (Arau)...bermula esok pada pukul 3 petang hingga 8 malam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Jualan Agro MADANI praRamadan di pekarangan Pejabat FAMA Perlis di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Anzara berkata Jualan Agro MADANI praRamadan dengan kerjasama MAIPs dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di 11 lokasi di negeri itu merekodkan nilai jualan sebanyak RM132,000.
"Alhamdulillah, Jualan Agro MADANI praRamadan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan di 12 lokasi dan hari ini merupakan lokasi terakhir jualan ini diadakan, untuk setakat 11 lokasi kita berjaya merekodkan nilai jualan RM132,000 di Dataran MAIPs dan juga empat masjid terpilih di Perlis," katanya.
Mohd Anzara berkata penganjuran jualan praRamadan itu memberikan manfaat kepada 70 usahawan dan 5,000 pengguna di Perlis.
-- BERNAMA