Karnival Meriahnya Raya Bersama Pkns Sasar 5,000 Pengunjung
KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung ke Karnival Meriahnya Raya Bersama PKNS yang sedang berlangsung di Datum Jelatek Shopping Centre di sini.
Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusof berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pelbagai pengisian aktiviti menarik yang disediakan sepanjang karnival, bermula 5 Mac hingga 21 April ini.
Antara pengisiannya ialah jualan barangan Hari Raya seperti baju Melayu, baju kurung, songkok dan sampin, barangan hiasan raya, kuih dan kerepek oleh 20 usahawan PKNS di ruangan Centre Court, yang dijangka dapat menjana nilai transaksi sebanyak RM100,000.
“Karnival juga akan dimeriahkan dengan sesi ‘Meet and Greet’ bersama Duta Usahawan PKNS Datuk Rosyam Nor, pertunjukan fesyen oleh pereka fesyen Usahawan BizClub PKNS, ruangan foto keluarga dan aktiviti buskers pada setiap hujung minggu, di samping persembahan pentas sepanjang karnival berlangsung,” katanya pada perasmian karnival itu hari ini.
Yuzawati berkata pihaknya berharap penganjuran karnival itu dapat membantu usahawan ‘start up’ mempromosikan produk masing-masing selain menjadi platform kepada usahawan PKNS untuk meluaskan jaringan perniagaan mereka.
Pada masa sama beliau berharap orang ramai dapat membeli barangan persediaan Hari Raya Aidilfitri pada harga yang murah, sekali gus membantu merancakkan aktiviti perniagaan di pusat beli belah berkenaan.
Sementara itu Pegawai Pemantau Operasi Datumcorp International Sdn Bhd Tengku Khairil Azwan Tengku Abdul Samad berkata karnival itu boleh menjadi acara tahunan bagi memeriahkan suasana Ramadan dan Hari Raya di Datum Jelatek.
Lokasi karnival strategik kerana terletak bersebelahan dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Jelatek yang menghubungkan terus pengguna dengan pusat beli belah berkenaan, di samping menyediakan kemudahan ruang parkir luas dengan bayaran hanya RM1.
-- BERNAMA