Jadikan Awal Ramadan Kesempatan Bermunajat Dan Tingkatkan Amal - Pm

11/03/2024 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar menjadikan awal Ramadan kesempatan untuk bermunajat dan meningkatkan amal serta tercapai darjat takwa selain berusaha bersungguh-sungguh bagi menggapai nikmat madrasah Ramadan.

Menerusi catatan di laman Facebook, Anwar yang kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman berkata umat Islam di Berlin sudah mula menjalani ibadah puasa dan menasihati anggota delegasi beliau yang bersahur pada 4 pagi serta menunaikan solat Subuh pada 4.35 pagi agar memenuhi waktu mereka dengan membaca al-Quran beserta tafsirnya sekali. 

Menerusi coretan beliau yang diiringi poster 'Selamat Menyambut Ramadan 2024/1445H' itu, Perdana Menteri berkata beliau meneliti pesanan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga serta urusan kerja dengan rakan Jemaah Menteri sementara menunggu acara di sebelah pagi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat beberapa mesej daripada rakan di Indonesia berkaitan kisah yang menyayat hati iaitu insiden penderaan anak santri di pesantren Jawa Timur.

"Terngiang dalam ingatan liputan negara sejak dulu – kisah penderaan pelajar termasuk pengalaman saya tatkala menjadi Menteri Pendidikan yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur. Malah, paling tragis dan menggemparkan adalah kematian mahasiswa di Universiti Pertahanan.

"Pendidikan tidak wajar mengesampingkan disiplin, akhlak dan adab. Pelajaran, waima pendidikan agama sekalipun, bukan sekadar menimba ilmu dan keratan ayat-ayat tanpa pencerahan, kesedaran dan amalan. Lantaran itu, semua tenaga pengajar dan ibu bapa perlu menekan kaedah itu, dan tidak bersubahat melindungi gejala bobrok tersebut," katanya.

Sehubungan itu, Anwar meminta pihak sekolah, maahad, institut, kolej dan univesiti memberi penekanan terhadap penjagaan disiplin dan adab serta bertegas menghindari kecurangan daripada berakar sejak di pusat pengajian lagi.

Anwar tiba di ibu negara Jerman itu pada 10.29 malam Ahad waktu tempatan (5.29 pagi Isnin waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi beliau ke negara yang merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah.

Jadual padat menanti Perdana Menteri bermula dengan lawatan ke Siemens Energy sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier.

Semasa lawatan itu, yang turut merangkumi kunjungan ke bandar pelabuhan Hamburg, Perdana Menteri dijadualkan bertemu kapten-kapten industri dan para pelabur berpotensi seperti Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis dan Airbus serta menghadiri sesi bersama diaspora Malaysia di negara itu.

-- BERNAMA