Jknp Keluarkan 52 Notis Terhadap Pengendali Makanan Di Bazar Ramadan

14/03/2024 07:45 PM

KUANTAN, 14 Mac (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 52 notis kompaun bernilai RM5,950 melibatkan pelbagai kesalahan oleh pengendali makanan di bazar Ramadan selepas pemeriksaan ke atas 526 gerai di seluruh negeri ini dalam tempoh dua hari bermula Selasa. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri Razali Kassim berkata daerah Pekan merekodkan pengeluaran 27 notis iaitu yang tertinggi, dengan antara kesalahan dikesan peniaga tidak memakai topi, apron serta kasut semasa mengendalikan makanan.

“Pengendali makanan juga didapati memakai perhiasan diri seperti jam tangan, cincin dan gelang malah terdapat juga pekerja yang tidak menghadiri kursus pengendali makanan," katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran ‘Walkabout’ Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Pahang 2024 di sini hari ini. 

Mengulas lanjut beliau berkata sebanyak 24 sampel makanan sedia dimakan iaitu makanan yang berisiko seperti juadah bersantan telah diambil dan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi yang keputusannya dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu. 

Dalam tempoh dua minggu sebelum Ramadan, beliau memaklumkan sebanyak 17 kilang ais turut diperiksa dan 11 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan membabitkan kompaun berjumlah RM10,300.

Menurutnya dua premis turut diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana pemilik gagal memastikan premis dalam keadaan bersih. 

Sementara itu Razali berkata masyarakat digalakkan menjadi 'perisik' kepada Jabatan Kesihatan dengan membuat aduan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan seterusnya menyalurkan aduan itu menerusi kod QR yang tersedia di setiap bazar Ramadan di negeri itu.

-- BERNAMA