Jualan Rahmah Bantu Komuniti Nelayan Di Jerlun

16/03/2024 05:26 PM

JERLUN, 16 Mac (Bernama) -- Komuniti nelayan di Kampung Jeruju, di sini bersyukur dengan penganjuran Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang menawarkan barangan keperluan pada harga rendah.

Inisiatif kerajaan itu, diibaratkan sebagai talian hayat bagi masyarakat di kampung itu khususnya dalam menghadapi peningkatan perbelanjaan, ekoran pembukaan sesi persekolahan dan Ramadan.

Suri rumah Norain Said, 32, dari Kuala Jerlun di sini berkata pendapatan suaminya yang merupakan nelayan pantai terkesan, dengan kekurangan hasil tangkapan ikan dan kini mula beralih kepada jualan siput mentarang, bagi menyara kehidupan keluarga.

“Bila hasil tak ada, pendapatan pun terjejas, tapi kami lega apabila adanya Jualan Rahmah di kampung ini yang memang terbukti murah, sekali gus dapat meringankan beban kami berbanding beli di kedai.

“Saya beli banyak barang, macam beras sekampit lima kilogram (kg) tu saya ambil dua kampit baru RM28, minyak masak RM2.50 sepeket saya beli tiga peket, mi segera sebungkus (RM4), sos cili dan kicap (RM2.50) sebotol, selain gula RM2.85 sepeket, mai beli di sini memang jimat banyaklah,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Nelayan Kampung Jeruju Shahrul Rizal Ismail, 37, berkata dia berharap program jualan itu dapat dianjurkan sekerap mungkin, kerana memberi banyak manfaat kepada komuniti nelayan di kampung tersebut.

Bapa kepada tiga anak itu berkata barangan yang ditawarkan pada program Jualan Rahmah itu lebih murah iaitu antara 10 hingga 30 peratus, berbanding di kedai runcit atau pasar raya.

“Saya nelayan tangkap udang untuk buat belacan, tapi dah seminggu hasil kurang, kos minyak bot pun tak balik modal...saya rasa program Jualan Rahmah ini memang patut diberi tumpuan dan ditambah baik lagi dan diperluaskan...terima kasih saya ucapkan kepada KPDN dan semua terlibat,” katanya.

Bagi peniaga makanan Shaharudin Ismail, 43, pula berkata program Jualan Rahmah khususnya pada bulan Ramadan ini, banyak membantu meringankan kos khususnya bagi yang berkeluarga besar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kedatangan Jualan Rahmah ni dapat bantu kami berjimat dalam bulan puasa, saya harap dapat diadakan lagi terutama ketika menjelang Syawal nanti. Ayam pun murah hanya RM12 seekor berbanding RM18 di luar sana dan banyak lagi murah-murah,” katanya.

-- BERNAMA