Azeem Sambar Emas, Gangsa Di Georgia

17/03/2024 09:36 AM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi memulakan musim baharu dengan bergaya selepas merangkul satu emas dan satu gangsa di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat pada Sabtu (awal pagi tadi waktu Malaysia). 

Pada kejohanan Yellow Jacket Invitational di Georgia Tech, pemegang rekod kebangsaan itu yang mewakili Universiti Auburn, Alabama menduduki tempat ketiga dalam acara 100 meter (m) lelaki selepas mencatatkan masa 10.38 saat (s), menurut laman web live.pttiming.com

Dua rakan sepasukannya Makanakaishe Charamba di tempat kedua dengan catatan 10.28s dan Kanyinsola Ajayi merakam 10.21s untuk muncul pemenang.

Pemenang pingat gangsa 100m lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu kemudian membantu kuartet 4x100m lelaki Universiti Auburn yang turut dibarisi Charamba, Ajayi dan Dario Matau memenangi emas dengan catatan masa memberangsangkan 38.74s.

Mereka menewaskan kuartet dari Universiti Olahraga Missouri yang meraih naib johan dengan 40.59s dan tempat ketiga menjadi milik Universiti Middle Tennessee yang mencatat 40.71s.

Kejohanan itu merupakan pertandingan di luar dewan pertama disertai Muhammad Azeem tahun ini selepas beraksi dalam beberapa kejohanan dalam dewan di Amerika Syarikat sejak Januari lepas.

Pertandingan itu juga aksi terakhir Muhammad Azeem dalam bulan Ramadan bagi menumpukan perhatian kepada latihan selain menjalani ibadah puasa di perantauan.

Catatan musim terbaik tahun lepas atlet kelahiran Teluk Intan, Perak itu ialah 10.11s dan beliau memegang rekod kebangsaan 10.09s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun 2022 di Cali, Colombia.

Muhammad Azeem yang akan menginjak usia 20 tahun bulan depan, perlu melakukan catatan 10s atau menempatkan diri dalam 48 pelari terbaik dalam ranking dunia bagi merealisasikan impiannya meraih debut di Sukan Olimpik Paris bermula Julai ini.

Bekas pemegang rekod kebangsaan Watson Nyambek merupakan atlet negara terakhir bersaing dalam acara 100m lelaki di Olimpik iaitu pada edisi Atlanta 1996 dan Sydney 2000, manakala bekas raja pecut Asia Tenggara Nazmizan Muhammad menjadi wakil negara terakhir beraksi dalam acara 200m lelaki pada edisi Athens 2004.

-- BERNAMA