Masjid Al-firdausi Terima Sumbangan Rm50,000 Untuk Naik Taraf Dapur

19/03/2024 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Masjid Al-Firdausi, Segambut di sini bagi tujuan menaik taraf dan melengkapkan dapur masjid tersebut.

Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata sumbangan itu diharap dapat memudahkan pihak masjid dalam penyediaan makanan untuk ahli kariahnya terutama pada Ramadan ini. 

"Masjid Al-Firdausi telah memaklumkan bahawa dapur mereka memang kurang selesa sebelum ini dan mereka perlu buat persiapan untuk masak bersama setiap hari pada Ramadan," katanya kepada media pada Program Nur Ramadan Peringkat Parlimen Segambut di Masjid Al-Firdausi hari ini.

Selain itu sumbangan wang tunai sebanyak RM200 seorang turut diagihkan kepada 300 penduduk Segambut yang memerlukan bantuan. 

Dalam pada itu Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Ismadi Sakirin berkata sumbangan hasil usaha sama antara Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Segambut dan DBKL berkenaan diharap dapat meringankan beban masyarakat di kawasan parlimen tersebut.

"Bagi pihak DBKL saya ingin merakamkan terima kasih kepada YB Hannah Yeoh atas kerjasama yang diberikan dan untuk makluman Program Nur Ramadan ini akan diadakan di semua 11 kawasan parlimen di Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya setakat ini enam program telah diadakan manakala selebihnya akan diadakan minggu hadapan.

-- BERNAMA