Tiada Pembaziran Makanan Di Bazar Ramadan Mbks, Kata Datuk Bandar
KUCHING, 20 Mac (Bernama) -- Tinjauan mendapati soal pembaziran makanan tidak menjadi isu di bazar Ramadan dalam kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan kebanyakan peniaga di bazar ini menjaga kebersihan persekitaran dengan baik, kata Datuk Bandar Datuk Wee Hong Seng.
Katanya beliau melihat peniaga makanan di bazar Ramadan di tempat letak kereta Pasar Komuniti Stutong di sini sebagai contoh, cukup berpengalaman dalam menyediakan jumlah makanan yang diperlukan dan mencukupi pada masa tertentu.
“Peniaga makanan di sini sangat berpengalaman dan mereka tahu berapa banyak makanan yang perlu disediakan dan berapa banyak yang akan dijual pada hari-hari tertentu atau pada hujung minggu.
“Malah, kita dapat lihat sesetengah daripada mereka menunggu hingga dulang mereka kosong sebelum menambah atau memasak makanan baharu.. saya rasa setakat ini pembaziran makanan dapat dikawal dengan baik,” katanya kepada Bernama.
Sebanyak 160 gerai tersedia di bazar Ramadan MBKS tahun ini yang berlangsung dari 12 Mac hingga 9 April.
-- BERNAMA