Tiktok Shop Bazarraya 2024 Tawar Diskaun Istimewa Dan Aktiviti Menarik

21/03/2024 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- TikTok Shop bakal menyajikan pengalaman luar biasa kepada penggunanya sempena Aidilfitri tahun ini menerusi aplikasi dan secara bersemuka bermula 25 Mac hingga 4 April.

TikTok Shop BazarRaya 2024 bakal menawarkan diskaun eksklusif, penampilan pencipta konten serta kemunculan sulung Trak Bergerak TikTok Shop.

"Pengguna juga berpeluang memenangi gelang emas eksklusif bernilai lebih RM5,000 apabila mereka menyertai cabaran #TikTokShopBazarRaya2024 dengan hanya merakamkan video bertemakan raya,"  menurut TikTok Shop dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk menambah lagi kemeriahan, pengguna berpeluang bertemu duta TikTok Shop Khairul Aming dan Nelysa Norazlan yang akan menganjurkan sesi secara langsung bagi memberi kesempatan orang ramai berhibur serta berinteraksi secara langsung.

Selain itu, TikTok Shop juga bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPJ) untuk menganjurkan Festival Ramadan Putrajaya iaitu festival Ramadan terbesar di Malaysia yang disertai 500 vendor yang bakal berlangsung dari 29 Mac hingga 10 April.

Sempena festival itu, TikTok Shop bakal menampilkan lebih 70 penjual menerusi sesi siaran langsung selama lebih 100 jam dengan mengetengahkan pelbagai produk tempatan sambil menggalakkan penggunaan digital dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Trak Bergerak TikTok Shop pula akan ditempatkan di Central Market dari 22 hingga 24 Mac serta di pintu masuk Lot 10 dari 29 hingga 31 Mac, menawarkan penstriman langsung, sesi temu mesra dan promosi eksklusif kepada pengunjung.

Selain itu, trak bergerak berkenaan juga menawarkan aktiviti interaktif, barangan eksklusif dan kejutan menarik daripada jenama tempatan seperti ZUS Coffee, HausBoom dan Bulan Bintang Fashion.

Maybank Visa selaku rakan kongsi perbankan rasmi tidak ketinggalan menawarkan promosi masa terhad sebanyak 10 peratus diskaun pada pukul 4 petang setiap hari di trak bergerak berkenaan untuk pengguna Kad Visa Maybank.

Pengurus Negara Visa untuk Malaysia Ng Kong Boon amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan TikTok Shop dan Maybank untuk memeriahkan sambutan raya buat pemegang kad selain  mempromosikan kemudahan dan keselamatan pembayaran digital.

"Selain tawaran menarik yang disediakan, kami berharap para pelanggan yang mengunjungi TikTok Shop dapat menikmati kelajuan, kemudahan dan sekuriti kaedah pembayaran digital menggunakan Kad Visa Maybank.”

Di samping itu, TikTok Shop telah melancarkan #JOMLokal untuk mempromosikan jenama-jenama tempatan serta memupuk kemahiran keusahawanan digital bagi penduduk kawasan luar bandar,  menyaksikan 96 peratus perniagaan terdiri daripada peniaga tempatan.

Melalui acara penstriman langsung dan perkongsian dengan saluran televsiyen TV3 Media Prima, TikTok Shop menyasarkan untuk meningkatkan hasil jualan peniaga tempatan.

Ketua Perhubungan Strategik TikTok Shop Nur Azre berkata TikTok Shop bermatlamat mencetus detik-detik yang luar biasa, membentuk hubungan menerusi semangat kepelbagaian dan perayaan.

"Bersama rakan-rakan yang kami hargai, kami seratus peratus komited untuk meraikan sambutan Hari Raya tahun ini dengan penuh gilang-gemilang dan diingati oleh semua.

"Sertai kami bersama kemeriahan TikTok Shop untuk sambutan yang mengukuhkan semangat kreativiti, budaya dan komuniti," katanya.

Nur Azre juga berharap kempen #TikTokShopBazarRaya2024 dapat menyemai kegembiraan dan semangat meraikan Aidilfitri melalui komuniti TikTok.

-- BERNAMA