Melaka Peruntuk Rm125,000 Sebagai Sumbangan Ramadan Kepada 1,250 Penerima

21/03/2024 11:12 PM

MELAKA, 21 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM125,000 sumbangan kewangan sempena Ramadan kepada 1,250 penerima dalam kalangan fakir miskin dan golongan asnaf di enam kawasan Parlimen di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sumbangan secara berperingkat itu selaras dengan fokus kerajaan negeri mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dalam usaha membantu meringankan bebanan kewangan golongan penerima tanpa ada yang tercicir atau terpinggir. 

"Kerajaan negeri bersama syarikat swasta yang telah melunaskan zakat perniagaan kepada kita melalui Puzat Zakat Melaka dipulangkan sebahagiannya kepada golongan asnaf mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen yang ditetapkan.

"Misalnya, sumbangan Ramadan berjumlah RM39,000 dan kit makanan disampaikan kepada 390 penerima yang memerlukan di 13 kawasan DUN dan tiga kawasan Parlimen dalam daerah Melaka Tengah iaitu Kota Melaka, Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu," katanya kepada pemberita di Masjid Al-Alami di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bagi Daerah Melaka Tengah 2024 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan yang juga ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

Ab Rauf berkata penyampaian sumbangan itu telah dilaksanakan bagi Parlimen Masjid Tanah dan ia akan diteruskan ke Parlimen Jasin dan Alor Gajah dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan negeri akan menganjurkan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 22 April ini.

Beliau berkata Majlis Rumah Terbuka itu dijangka akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ribuan pengunjung dari dalam dan luar Melaka.

"Bagi sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat DUN pula sedang diselaraskan mengikut jadual yang akan ditetapkan bagi meraikan rakyat di DUN masing-masing," katanya.

-- BERNAMA