50 Petugas Bernama Meriahkan Program Jom Sahur Bernama 2024/1445h

23/03/2024 09:19 AM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Seramai 50 petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memeriahkan sambutan bulan Ramadan di Wisma Bernama dengan menyertai program Jom Sahur Bernama 2024/1445H, awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata program berkenaan yang memasuki edisi keempat penganjurannya bertujuan untuk menghargai petugas syif malam.

“Alhamdulillah, pada pagi ini sambutannya sangat meriah. Pihak pengurusan Bernama juga dapat berhimpun bersama warga Bernama khususnya petugas syif malam untuk bersahur dan merapatkan silaturahim,” katanya ketika ditemui pada program Jom Sahur Bernama di sini.

Program turut diisi dengan sesi tazkirah yang disampaikan Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) Umar Mukhtar Mohd Noor sebelum disusuli dengan solat subuh berjemaah.

Program turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.

-- BERNAMA