Kementerian Perpaduan Agih 600,000 Pek Bubur Lambuk Di Seluruh Negara

23/03/2024 09:04 PM

SIBU, 23 Mac (Bernama) -- Sebanyak 600,000 pek bubur lambuk diagih kepada orang ramai di seluruh negara hari ini bersempena penganjuran serentak Program Gerak RAHMAH 2024: Jom Masak Bubur Lambuk oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata jumlah itu meningkat daripada 400,000 pek bubur yang diagih pada tahun lepas membabitkan 4,000 Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Di Sarawak, kita agihkan sebanyak 12,000 pek bubur lambuk dan di Dataran Tun Tuanku Bujang ini, kita agihkan sebanyak 5,000 pek bubur lambuk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gerak RAHMAH 2024: Jom Masak Bubur Lambuk dan Sungkei Perdana 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka.

Menyifatkan penganjuran program itu lebih hebat berbanding pada tahun lepas, Aaron berkata ia bertujuan memperlihatkan perpaduan di negara ini yang membabitkan penyertaan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Annuar pula berkata penganjuran Sungkei Perdana adalah penting bagi mencerminkan perpaduan bukan hanya di Sibu tetapi juga di Sarawak.

“Inilah cara kita hidup bersama dan saya rasa aktiviti ini telah menjadi ikutan kawasan yang berdekatan dengan Sibu malahan di Kuching juga,” katanya.

Beliau berharap program seumpama itu dapat dianjurkan di tempat lain dan dengan jaringan jalan raya yang lebih baik pada masa ini, Annuar berkata orang ramai lebih bersedia untuk menyertai program Sungkei Perdana.

“Sebenarnya hari ini ramai yang datang dari luar untuk menyertai Sungkei Perdana ini dan ia bukan sahaja baik untuk perpaduan malahan bagus untuk perniagaan khasnya peniaga di Bazar Ramadan,” katanya.

Dianggarkan 20,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama menyertai program Sungkei itu, atau berbuka puasa dalam Bahasa Melayu Sarawak, di Dataran Tun Tuanku Bujang.

-- BERNAMA