Infak Ramadan Daripada Pm Ceriakan 200 Anak Asnaf

30/03/2024 10:01 PM

ALOR GAJAH, 30 Mac (Bernama) -- Sebanyak 200 asnaf di Parlimen Masjid Tanah di sini menerima sumbangan Infak Ramadan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin.

Azman berkata sumbangan berupa wang tunai dan kit Aidilfitri itu diharap dapat menceriakan mereka di samping mengurangkan beban kewangan dalam membuat persediaan menyambut hari lebaran. 

"Mewakili Perdana Menteri juga, saya turut menziarahi dan memberi sumbangan kilat kepada empat keluarga dari pelbagai latar belakang iaitu ibu tunggal, sakit mental, warga emas yang uzur dan pesakit kanser darah. 

"Sekiranya ada permohonan untuk bantuan, kita akan ikhtiar untuk bantuan susulan tetapi untuk hari ini, kita beri sumbangan kilat untuk membantu sempena Ramadan," katanya kepada Bernama selepas melawat pesakit kanser darah di Kampung Padang Kemunting, Pengkalan Balak di sini hari ini. 

Mengenai sumbangan Infak Ramadan, beliau berkata 200 penerima itu ialah asnaf serta anak yatim daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Tanjung Bidara dan Ayer Limau.  

"Saya turut menyantuni 200 orang lagi berbuka puasa di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Pantai Kuala Sungai Baru dan ini adalah bagi sama-sama merasai keberkatan Ramadan dan keceriaan Aidilfitri," katanya. 

Katanya sumbangan dan ziarah tersebut adalah satu daripada cara kerajaan menunjukkan keprihatinan dan mengambil berat nasib rakyat terutama golongan miskin, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya. 

Dalam majlis itu turut disampaikan kit Aidilfitri kepada pengerusi-pengerusi masjid Kuala Linggi.

Hadir sama Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum dan ADUN Kuala Linggi Rosli Abdullah.

-- BERNAMA