Gagasan Rakyat Labuan Hulur Bantuan Kepada Pesakit Terlantar

31/03/2024 02:19 PM

LABUAN, 31 Mac (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Labuan memperhebatkan usaha mendekati masyarakat menerusi dengan melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kedua yang memfokuskan kepada pesakit terlantar akibat penyakit kronik.

Ketua Bahagiannya Rosli Awang Damit berkata inisiatif itu bertujuan memberi sokongan kepada anggota masyarakat paling terdedah bermula semalam dan diteruskan sehingga hari ini.

“Kita telah melawat 13 pesakit terlantar di beberapa kampung, kebanyakannya menghidap penyakit kronik, ibu tunggal dan individu kurang upaya.

“Semasa lawatan, kita telah mengagihkan bakul makanan dan menyediakan bantuan kewangan kepada penerima, bertujuan untuk membawa kegembiraan dan sokongan sepanjang bulan Ramadan,” katanya kepada Bernama.

Rosli menekankan kepentingan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan serta dedikasi parti untuk memberikan impak positif kepada masyarakat.

Menurut beliau, pihaknya juga bercadangan untuk meneruskan usaha mendekat golongan kurang bernasib baik dengan melawat beberapa lagi pesakit terlantar di lapan kampung hari ini.

Gagasan Rakyat merupakan sebuah parti berpangkalan di Sabah diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan diperluaskan ke Labuan pada Oktober tahun lepas dengan peningkatan ketara dalam keahlian melebihi 2,000 ahli di Labuan.

-- BERNAMA