Mta Santuni Komuniti Setempat, Pemain Industri Takaful Menerusi Csr Ramadan

31/03/2024 09:03 PM

BACHOK, 31 Mac (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menyantuni komuniti setempat dan pemain industri takaful di negeri ini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Radzuan Mohamed berkata mereka melibatkan 250 individu terdiri daripada asnaf, kariah masjid, nelayan dan ejen takaful. 

"Selain menjalankan aktiviti komersial, kami juga melakukan program CSR Ramadan dengan menghulurkan sumbangan terhadap mangsa banjir di Johor dan Kelantan menerusi penyelaras masjid, baik pulih sekolah rendah serta pembelian buku di perpustakaan.

"Program kemasyarakatan ini turut melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mualaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan memberi sumbangan serta sedekah melalui konsep sama-sama bantu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Iftar Ramadan MTA + Chapter Anok Kelate dengan kerjasama kariah Masjid Kampung Kubang Golok di Pantai Tapang di sini hari ini.

Mohd Radzuan berkata pertemuan dalam kalangan pengendali takaful kali ini bukan sahaja merapatkan hubungan, malah menjadi titik tolak kepada perjumpaan seterusnya yang dijangka melibatkan lebih banyak penyertaan.

Beliau berkata selain itu, MTA membantu penuntut beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta antaranya Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan beberapa universiti di negeri lain.

“Kami turut meningkatkan kesedaran tentang takaful dalam pendidikan terutama mengambil perhatian terhadap kewangan penuntut universiti dan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Penuntut universiti diberi pendedahan tentang takaful melalui penganjuran program yang membolehkan mereka memberi idea melalui pertandingan berkaitan takaful," katanya.

Menurut Mohd Radzuan penuntut yang berjaya dalam pertandingan diberi insentif berbentuk kewangan, sekali gus usaha berkenaan memupuk minat generasi baharu untuk menceburi bidang tafakul.

-- BERNAMA