Utem Terima Dividen Rm8 Juta Daripada Uhsb

01/04/2024 03:09 PM

MELAKA, 1 April (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima dividen berjumlah RM8 juta daripada anak syarikatnya UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB) bagi tahun ini, menurut Naib Canselor universiti itu Prof Dr Massila Kamalrudin.

Beliau berkata ia meningkat RM3 juta berbanding RM5 juta yang diterima tahun lepas dan RM2.9 juta pada 2022.

"Peningkatan penyerahan dividen dalam tempoh tiga tahun ini jelas membuktikan peningkatan memberangsangkan yang dapat dijana UHSB," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang Dipertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM Tun Mohd Ali Rustam menyaksikan majlis penyerahan dividen berkenaan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif UHSB Prof Dr Ghazali Omar kepada Massila yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 28 Mac lepas.

Dalam kenyataan sama Massila memaklumkan UHSB turut menyerahkan peruntukan RM150,000 bagi melaksanakan program Mahabbah Aidilfitri UTeM.

Beliau berkata UTeM turut menerima peruntukan RM344,000 daripada Yayasan Canselor UTeM dan UHSB bagi menganjurkan pelbagai program sepanjang Ramadan ini.

Sementara itu Massila berkata sehingga kini 732 pelajar universiti berkenaan menerima biasiswa daripada 29 agensi termasuk biasiswa dalaman seperti Program Anak Emas melibatkan enam pelajar yang menerima bantuan berjumlah RM99,000 dan Program Sulung terdiri daripada 133 penerima membabitkan peruntukan RM1.2 juta.

"Selain itu UTeM juga menawarkan Biasiswa Kesidang melibatkan peruntukan RM10 juta untuk membantu pelajar tempatan dan antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA