Quest International University Rai Penghuni Yayasan Amanah An-nur Maisarah Pada Program Iftar Ramadan

02/04/2024 11:25 AM

IPOH, 2 April (Bernama) -- Quest International University (QIU) meraikan 70 penghuni Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor menerusi Program Iftar Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini, malam tadi.

Naib Canselor QIU Prof Zita Mohd Fahmi berkata penganjuran kali kedua itu bertujuan melahirkan keprihatinan dalam membantu golongan anak yatim dan asnaf.

Beliau berkata penganjuran itu juga merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) universiti dengan kerjasama rangkaian jenama runcit terkemuka AEON Co (M) Bhd (AEON), Yayasan Rythm serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.

"Selain berbuka puasa bersama penghuni pusat jagaan anak-anak yatim itu, pihak universiti turut menyumbangkan duit raya kepada mereka serta penyampaian ‘goodies’ daripada AEON.

"Secara tidak langsung penganjuran program sebegini dapat memberi keseronokan dan semangat kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi selain memberi impak positif kepada kehidupan mereka pada masa akan datang," katanya kepada Bernama.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian nasyid daripada penghuni yayasan berkenaan selain taklimat tentang kepenggunaan daripada pihak KPDN.

-- BERNAMA